INDEKS HARGA PENGGUNA, NOVEMBER 2024

INDEKS HARGA PENGGUNA, NOVEMBER 2024

Siaran Terkini : 20 Disember 2024

Inflasi Malaysia meningkat 1.8 peratus pada November 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.3 berbanding 130.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan inflasi pada November 2024 telah didorong oleh peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan utama Kesihatan (1.2%) dan Pengangkutan (0.4%). Manakala, inflasi Makanan & Minuman meningkat pada kadar lebih tinggi 2.6 peratus berbanding 2.3 peratus pada bulan Oktober 2024. Selain itu, kumpulan utama Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain turut menunjukkan peningkatan lebih tinggi pada November 2024, 3.2 peratus (Oktober 2024: 3.1%).

Inflasi Maklumat & Komunikasi terus menurun kepada negatif 3.9 peratus pada November 2024 (Oktober 2024: -1.7%). Ini disebabkan oleh penurunan inflasi subkumpulan utama Perkhidmatan maklumat & komunikasi pada negatif 4.4 peratus (Oktober 2024: -1.8%). Pakaian & Kasut kekal berada dalam jajaran negatif iaitu negatif 0.3 peratus (Oktober 2024: -0.2%). Sementara itu, Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.4%); Restoran & Perkhidmatan Penginapan (2.8%); Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (2.0%); Pendidikan (1.5%); Minuman, Alkohol & Tembakau (0.8%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.5%) dan Insurans & Perkhidmatan Kewangan (0.5%) meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.

Kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus. Walau bagaimanapun, inflasi bagi lima negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (2.9%), Pahang (2.4%), Selangor (2.1%), Johor (1.9%) dan Sarawak (1.9%). Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi Makanan & Minuman. Kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 4.0 peratus, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.4%), Johor (2.9%), Terengganu (2.8%), Pulau Pinang (2.6%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.6%). Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan & Minuman nasional iaitu 2.6 peratus pada November 2024.

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada November 2024 menurun 0.1 peratus berbanding Oktober 2024. Ini merupakan merupakan penurunan kali pertama semenjak Ogos 2021 yang didorong oleh inflasi kumpulan utama Maklumat & Komunikasi (-2.3%). Ini diikuti oleh inflasi Pengangkutan (-0.2%) dan Pakaian & Kasut (-0.1%). Sementara itu, inflasi teras meningkat dengan kadar yang sama pada 1.8 peratus pada November 2024 berbanding Oktober 2024. Peningkatan ini didorong oleh kumpulan utama Makanan & Minuman (3.7%); Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.4%) dan Restoran & Perkhidmatan Penginapan (2.8%).

Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.8%) lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (2.8%) dan Filipina (2.5%). Manakala, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Indonesia (1.6%), Republik Korea (1.5%), Thailand (1.0%) dan China (0.2%).

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

JURUTERBANG RUGI HAMPIR RM200,000 TERPEDAYA PAKEJ HAJI PALSU

Seorang juruterbang wanita di sebuah syarikat penerbangan mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan tawaran pakej haji yang tidak wujud …
Maklumat Lanjut

STPM 2024: NEGERI SEMBILAN LEPASI PNGK KEBANGSAAN BUAT PERTAMA KALI

Negeri Sembilan mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali melepasi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Kebangsaan iaitu 2.85 bagi peperiksaan …
Maklumat Lanjut

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut