Membincangkan soal media dan peranannya, memang tidak dinafikan pengaruh pengamal media amat signifikan dalam pelbagai aspek terutama kehidupan masyarakat, pentadbiran negara dan menjamin kestabilan politik negara.
Bahkan baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media adalah watak penting memberikan kritikan, teguran, pandangan, ulasan dan pencerahan dalam meraikan roh demokrasi bermakna di negara ini.
Dalam era ledakan teknologi digital hari ini, fungsi media kini semakin meluas menyampaikan maklumat dan menyebarkan berita lebih-lebih lagi munculnya kecerdasan buatan (AI) yang berkeupayaan memudahkan lagi tugas pengamal media.
Namun penggunaan AI turut menjadi perdebatan dalam kalangan pengamal media kerana ia dikatakan menyentuh aspek integriti wartawan dalam melaporkan berita dan maklumat.
Di samping itu, AI juga membangkitkan persoalan pengamal media tidak lagi memiliki sifat ketulenan jika menggunakan AI dalam pelaporan mereka sama ada di media cetak, elektronik dan sosial.
Dalam hal ini, seorang wartawan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi AI kerana kewartawanan memerlukan pemahaman menyeluruh mengenai emosi dan konteks manusia.
Wartawan bertanggungjawab membuat keputusan beretika mengenai perkara perlu dilaporkan dan cara melaporkannya. Keputusan ini memerlukan pemahaman mendalam mengenai nilai kemasyarakatan dan potensi kesan terhadap individu dan komuniti.
AI bantu subur kreativiti wartawan
AI lazimnya membantu menyuburkan kreativiti wartawan mencipta laporan atau naratif menarik, membangunkan sudut unik dan menyampaikan maklumat dalam cara berbeza.
Wartawan dan pengamal media hakikatnya boleh menggunakan AI untuk mengendalikan tugas berat berkaitan data, penyelidikan, memperhalusi dan menambah dimensi emosi ketika menulis laporan.
Namun, pengawasan wartawan dari sudut insan tetap penting untuk memastikan ketepatan, konteks dan standard etika kewartawanan dikekalkan.
Hakikat tidak boleh dinafikan, penggunaan AI dalam kewartawanan menimbulkan persoalan aspek keaslian naskhah. Akan tetapi jika AI disepadukan secara beretika dan berkesan dengan pengalaman, ia dapat meningkatkan mutu kewartawanan.
Paling penting, AI boleh membantu wartawan mengumpulkan maklumat latar belakang dan mencari sumber berkaitan dengan lebih cekap, pantas dan daripada pangkalan data serta sumber dipercayai.
AI juga boleh boleh membantu organisasi media menyampaikan kandungan kepada khalayak berdasarkan minat dan tabiat membaca atau menonton mereka. Bermakna AI akan mencadangkan artikel atau berita berdasarkan pilihan pengguna.
Ia juga membantu organisasi menyusun suapan berita memenuhi minat dan kehendak pembaca selain boleh digunakan menambah proses kreatif, memberikan cadangan dan meningkatkan penulisan wartawan itu sendiri.
Paling tidak, AI mampu menjana idea untuk artikel atau kandungan baharu berdasarkan topik mendapat minat dominan khalayak. Sebab itu ketika ini, organisasi memanfaatkan AI mencipta kandungan multimedia, seperti video dan grafik interaktif bagi melengkapkan artikel bertulis.
Berbalik kepada pandangan pengamal media yang AI membawa bersama sisi negatif terhadap kerjaya wartawan, ia bukan berlaku akibat kemunculan AI saja, bahkan turut berlaku lama sebelum ini.
Cuma, kewujudan AI dalam kewartawanan berpotensi membentuk budaya ‘kewartawanan malas’, yang mana wartawan mungkin terlalu bergantung pada AI dan mengurangkan pembabitan mereka dalam aspek kritikal menulis laporan atau menghasilkan kandungan. Situasi ini dapat dielakkan dan boleh dikurangkan menerusi garis panduan, latihan dan pendekatan seimbang.
Dengan peningkatan integrasi AI dalam kewartawanan, adalah penting untuk mempertimbangkan langkah perundangan mengimbangi faedah AI dengan perlindungan kebebasan media dan piawaian etika.
Penulis adalah Ketua Makmal Penyelidikan Pengkomputeran Berpusatkan Manusia, Pusat Pengajian Pengkomputeran, Universiti Utara Malaysia
SUMBER: BERITA HARIAN



