VIDEO TULAR BUKAN PEMBERIAN TANAH KEBUN DURIAN TAPI PENYERAHAN SKIM TANAH RAKYAT – EXCO

KUANTAN: Video yang dikaitkan dengan pemberian tanah kebun durian di Pahang kepada pesara tentera adalah tidak benar, sebaliknya ia penyerahan hak milik Skim Tanah Rakyat (STR) kepada penduduk Temerloh.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kandungan video itu, adalah majlis penyerahan geran kepada lebih 600 peserta STR yang telah dimuat naik di media sosial sebelum ini.

Beliau yang hadir pada majlis berkenaan bagi mewakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyerahan itu dibuat, setelah kerajaan negeri menerima permohonan STR daripada penduduk daerah tersebut.

“Justeru, apa yang didakwa individu terbabit mungkin dia salah faham atau tidak tahu cerita sebenar,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Sementara itu, Pengarah Tanah dan Galian Pahang, Datuk Hamdan Hussin memaklumkan video berkenaan membabitkan penyerahan hak milik STR bagi daerah Temerloh pada 1 Disember lalu.

Beliau berkata, majlis yang disempurnakan oleh Syed Ibrahim itu melibatkan penyerahan STR bagi penduduk Kampung Sokmek, Kampung Kuala Kaung, Kampung Sungai Juru, Kampung Sungai Jenalik, Kampung Sungai Jentar, Kampung Pangsenam dan Kampung Bintang.

Terdahulu tular satu video berdurasi hampir dua minit dengan hantaran mendakwa kerajaan Pahang memberikan tanah kebun durian yang diusahakan oleh pekebun sebelum ini kepada pesara tentera seluas dua ekar seorang.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

TARIKH PENTING PELAKSANAAN SISTEM AMARAN AWAL (EWS)

Sistem Amaran Awal (EWS) akan dilaksanakan secara berfasa sebelum beroperasi sepenuhnya. Beberapa peringkat pengujian akan dijalankan bagi memastikan sistem berfungsi …

NADMA PERKASA PROSEDUR OPERASI DAN PENGENDALIAN BENCANA NEGARA

Shah Alam – Pengurusan bencana yang berkesan memerlukan prosedur operasi dan garis panduan yang jelas serta terselaras. Sehubungan itu, Agensi …

Projek Naik Taraf Gerai Tok Lam

Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (ICU JPM Terengganu) bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terus komited memantau kelancaran projek menaik …