GELABAH DIHUBUNGI ‘INSPEKTOR FAHMI’ DAN ‘DATO’ FAUZI, PESARA RUGI RM804,903

KUALA LUMPUR: Seorang pesara kerajaan berusia 61 tahun kerugian RM804,903 selepas terpedaya dengan taktik licik sindiket ‘phone scam’.

Taktik penipuan bermula 15 November lalu apabila mangsa dihubungi individu mengaku sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Kuantan.

Pegawai itu mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bil elektrik bagi sebuah rumah di Kuantan, namun mangsa menafikan memiliki rumah berkenaan.

Panggilan kemudian disambungkan kepada individu bernama ‘Inspeektor Fahmi’ kononnya daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang mendakwa mangsa terbabit kes pengubahan wang haram, dengan waran tangkap turut dikeluarkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata tidak cukup dengan itu, mangsa kemudian dihubungi seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Dato’ Fauzi’ kononnya dari Bank Negara Malaysia.

Katanya, suspek mengarahkan mangsa melaporkan diri setiap hari kepadanya dan menyerahkan kad bank serta nombor pin atas alasan siasatan lanjut.

“Akibat tertekan, pengadu menyerahkan kad bank miliknya dengan meletakkannya di atas tembok pagar rumah.

“Mangsa juga diarah mengeluarkan wang simpanan dari Tabung Haji dan memasukkannya ke dalam akaun CIMB miliknya,” katanya.

Tambah Ramli, mangsa beberapa kali membuat pemindahan wang ke akaun lain yang diarahkan sindiket, kononnya bagi mengelakkan daripada direman.

“Pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan setelah membaca hantaran mengenai taktik sindiket Phone Scam di Facebook, sebelum membuat laporan polis pada 6 Disember lalu,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ramli berkata taktik agresif sindiket kali ini lebih membimbangkan kerana mereka memaksa mangsa melaporkan diri setiap hari, sekali gus memberi tekanan mental yang serius.

Lebih membahayakan, katanya lokasi kediaman mangsa turut didedahkan, berpotensi mengundang jenayah lain seperti rompakan atau penculikan.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan panggilan mencurigakan, lebih-lebih lagi jika membabitkan pemindahan panggilan antara agensi,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

LEBIH 90 PERATUS MYKIOSK DI NEGERI SEMBILAN SUDAH DIISI

Lebih 90 peratus kios MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Sembilan telah diisi dengan peniaga …
Maklumat Lanjut

TEMA HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA 2025

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025. RASIONAL TEMA Cerminan visi kerajaan …
Maklumat Lanjut

𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗜 𝗠𝗔𝗞𝗟𝗨𝗠𝗔𝗧 𝗕𝗔𝗡𝗞 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗠𝗔𝗡𝗔-𝗠𝗔𝗡𝗔 𝗣𝗜𝗛𝗔𝗞

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) JANGAN BERI …
Maklumat Lanjut