SUAMI ISTERI DIDAKWA TERIMA WANG AKTIVITI HARAM LEBIH RM3 JUTA

Pasangan suami isteri yang merupakan pengarah beberapa syarikat farmasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas 14 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram lebih RM3 juta, sejak 2021 hingga 2023.

Tertuduh Cheong Yin Ying, 39 didakwa atas sembilan pertuduhan manakala suaminya, James Ooi Joe Behn, 41, berdepan lima pertuduhan. Bagaimanapun kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, Yin Ying telah menerima hasil daripada aktiviti haram dari akaun bank milik seorang lelaki dan akaun bank dua syarikat ke akaun miliknya dengan jumlah keseluruhan RM3,225,484. Kesalahan itu dilakukan di Jalan Perindustrian Mantin 2, Kawasan Perindustrian Mantin sejak Januari 2021 hingga Mei 2023.

Sementara itu, James didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram dari akaun bank pemilik individu dan satu syarikat yang sama diterima isterinya ke akaun miliknya dengan jumlah keseluruhan RM530,060 di lokasi sama dari Disember 2022 hingga Mac 2023.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh sebagai pemilik dan pengarah beberapa syarikat farmasi telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Afendi manakala tertuduh diwakili peguam Amirul Fairuzzeen Jamaluddin.

Mahkamah seterusnya membenarkan Yin Ying diikat jamin sebanyak RM60,000 manakala James dijamin RM40,000 dengan seorang penjamin. Selain itu, mereka perlu melapor diri ke balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain dilarang mengganggu saksi. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Januari 2025.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …