GISBH: POLIS NEGERI SEMBILAN BUKA 12 KERTAS SIASATAN, TUJUH DITUDUH DI MAHKAMAH

Polis Kontinjen Negeri Sembilan membuka 12 kertas siasatan terhadap GISB Holdings (GISBH) dengan tujuh daripadanya dituduh di mahkamah. Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, lima lagi masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara. Beliau menegaskan pihak berkuasa akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap apa jua pelanggaran undang-undang dilakukan pihak GISBH dan juga syarikat yang ada kaitan dengan GISBH.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan memutuskan ajaran dibawa pemimpin GISB Holdings (GISBH) sama dengan ajaran al-Arqam dan Rufaqa berkaitan Aurad Muhammadiah yang diharamkan. Muzakarah September lalu menegaskan ajaran al-Arqam yang diwartakan haram pada 2016 boleh dijadikan asas kepada penguatkuasaan ke atas sebarang usaha untuk menghidupkan kembali ajaran al-Arqam atau seumpamanya walaupun atas nama yang berlainan. Jabatan Mufti Negeri Sembilan sentiasa menyebarkan maklumat mengenai kumpulan ajaran sesat yang telah difatwakan melalui program di peringkat daerah.

Kerajaan negeri komited mengambil tindakan berdasarkan peruntukan mengikut Enakmen Syariah ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar apa-apa keputusan fatwa Negeri Sembilan termasuk mengamalkan ajaran “Aurad Muhammadiyah. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menjalankan pemeriksaan di dua madrasah di bawah pentadbiran GISBH iaitu Madrasah Dinul Hayah Ulu Beting Kuala Pilah dan Madrasah Hayatul Islam Kampung Senama Rembau. Hasil pemeriksaan, tindakan penutupan di bawah Seksyen 25C Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) telah dilaksanakan ke atas kedua-dua madrasah terbabit.

Empat orang yang disyaki (OYDS) telah ditahan dalam pemeriksaan tersebut. OYDS ditahan terdiri daripada Pengerusi dan Mudir Madrasah Dinul Hayah, Ulu Beting, Kuala Pilah. Penahanan dan siasatan ke atas empat OYDS terbabit dibuat mengikut Seksyen 22 Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996. Ia membabitkan kesalahan menubuhkan, menguruskan atau mengendalikan sekolah Islam tanpa Perakuan Pendaftaran dan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2019 iaitu perbuatan atau ajaran salah yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Seksyen 53 enakmen yang sama iaitu mengajar agama tanpa tauliah memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000.

 

Sumber: Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI

 “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” bukan sekadar tema — ia lambang komitmen kerajaan dalam membina negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan …
Maklumat Lanjut

NEGERI SEMBILAN SUDAH BERSEDIA HADAPI KEMARAU

Kerajaan Negeri Sembilan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan cuaca panas dan kering yang dijangka melanda berterusan hingga hujung bulan depan …
Maklumat Lanjut

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut