197 PTI DITAHAN DALAM OPERASI PENGUATKUASAAN IMIGRESEN

TAHAN: Antara PTI yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menaham 197 Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen yang dijalankan di rumah kongsi tapak pembinaan perumahan antara dua daerah iaitu Tuaran dan Menggatal pada Rabu.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib berkata, PTI yang ditahan dalam operasi bermula jam 12 sehingga 5 pagi itu termasuklah 49 orang lelaki dewasa, 54 orang perempuan dewasa, 92 kanak-kanak warga Filipina.

“Turut ditahan dua lelaki warga Indonesia dan kesemua tahanan berumur antara tujuh bulan sehingga 62 tahun yang terdiri daripada 85 orang lelaki dan 112 perempuan.

“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, terdapat dua lokasi serbuan di kawasan tapak pembinaan perumahan yang berkonsepkan penempatan rumah kongsi di

Tuaran dan Menggatal.

“Pola penempatan berkenaan dibina

secara berkelompok di atas bukit dengan keadaan tanah yang berlumpur.

“Kegagalan dalam menyediakan persekitaran rumah yang kondusif menjadi trend menyebabkan PTI terpaksa membina rumah dengan keadaan bersempit dan bersesak yang

memuatkan keluarga memberi implikasi negatif kepada kehidupan sosial dan perkembangan hidup kesejahteraan kepada kanak-kanak yang berada di kawasan terbabit,” katanya.

Bercakap lanjut beliau berkata, semasa serbuan dijalankan, terdapat warga asing yang melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak samun.

Katanya, keadaan jalan berbukit dan curam ditambah dengan pelbagai helah cuba dilakukan PTI berkenaan menyukarkan pergerakan pasukan operasi serta memberi risiko keselamatan termasuk berlaku pergelutan dengan pihak berkuasa.

Beliau bagaimanapun berkata, keadaan adalah terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuklah

tiada dokumen pengenalan diri Seksyen 6 (1) (c) dan tinggal lebih masa bagi Seksyen 15 (1) (c).

“Operasi penguatkuasaan dilaksanakan

secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta

Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Beliau berkata, JIM mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PTI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM

dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat berkenaan.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

MKN SELANGOR PERKASA KESEDARAN KESELAMATAN NEGARA MELALUI PROGRAM BICARA EKSEKUTIF GURU MUDA MADANI 2026

SUNGAI BULOH, 5 NOVEMBER 2026 – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan …

PENGHANTARAN PULANG DAN PENEMPATAN SEMULA KEKAL SEBAGAI KEUTAMAAN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Luar Negeri terus mengusahakan kerjasama dengan negara asal dan negara ketiga bagi penyelesaian jangka …

DOKUMEN PENDAFTARAN PELARIAN (DPP)

TUJUAN DOKUMEN PENDAFTARAN PELARIAN (DPP) Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bertujuan membantu Kerajaan mengurus pelarian di Malaysia secara lebih tersusun, selamat …