MyRESIDENSI@WILAYAH

MEMILIKI kediaman sendiri pastinya menjadi impian setiap individu yang bergelar pekerja, namun, tidak semua layak untuk mempunyai rumah idaman terutama mereka yang bekerja di kawasan bandar. Malah, kebanyakan warga kota berkenaan terpaksa berpuas hati dengan menyewa kediaman  orang lain walaupun mempunyai gaji maksima RM5,000.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat golongan tersebut, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) merangka sebuah dasar yang dikenali MyResidensi@Wilayah.

Pelaksanaan dasar MyResidensi@Wilayah itu juga sejajar dengan hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa yang mahu keperluan perumahan dilihat secara komprehensif dan membantu golongan sasar memiliki rumah sendiri. Ini kerana, berdasarkan kuota permohonan rumah mampu milik, kira-kira 70 peratus pemohon adalah individu yang berpendapatan bulanan di bawah RM5,000 dan kebanyakan mereka tidak mendapat kelulusan bank bagi membeli rumah bernilai RM300,000.

Dasar yang diperkenalkan bermula tahun ini meliputi dua komponen iaitu pemilikan dan sewaan.

KAEDAH PEMILIKAN

Bagi pemilikan, terdapat tiga konsep yang ditawarkan iaitu Residensi Wilayah, Residensi Prihatin dan Rumah Wilayah Prihatin.

Residensi Wilayah melibatkan keluasan 800 kaki persegi (kp) dan harga tidak lebih daripada RM300,000 manakala Residensi Prihatin pula berkeluasan minima 750kp dan harga tidak melebihi RM200,000.“Kedua-dua konsep tersebut mempunyai kemudahan yang sama antaranya dewan, surau dan tadika. Perbezaan adalah dari segi ‘finishing’,” katanya kepada Wilayahku pada Khamis.

Bagi Rumah Wilayah Prihatin pula, jelas Muhammad Azmi, ia merupakan program pemberian milikan kepada penyewa sedia ada di projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Menurut beliau, penerima terlibat terdiri daripada ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), mempunyai bilangan anak ramai, berpendapatan rendah termasuk kategori asnaf dan fakir miskin.

Katanya, program tersebut adalah kerjasama antara KWP dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Celcom, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Yayasan Albukhary.

“Duit daripada korporat, sumbangan CSR atau zakat digunakan untuk membeli rumah penyewa daripada DBKL, kos pembelian adalah berdasarkan keluasan iaitu RM20,000 hingga RM35,000. “Jika terdapat tunggakan, ia akan dilangsaikan dahulu dan kementerian akan tambah baik rumah berkenaan seperti memasang jubin, cat serta menyediakan perabot asas termasuk kabinet dapur yang mana 200 unit rumah menggunakan peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri  berjumlah RM3.6 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, program Rumah Wilayah Prihatin akan diperluaskan yang mana sasaran pemilikan adalah 2,500 unit dalam tempoh lima tahun. Ini kerana, ujar beliau, sepanjang tempoh 2016 hingga 2020, hanya 325 unit diberikan pemilikan kepada penyewa PPR dan PA DBKL.

KAEDAH SEWAAN

Untuk  komponen sewaan pula, jelas Muhammad Azmi, konsep tersebut diperkenalkan untuk individu yang tidak mampu membeli sebarang unit rumah yang dibina kerajaan. Mengambil contoh ‘console home’ yang mempunyai keluasan 600kp hingga 850kp, ujar beliau, penyewa diberikan unit sewaan mengikut keperluan dan tempoh maksima adalah lima tahun.

“Selepas lima tahun, dia kena keluar kerana ‘console home’ ini melibatkan konsep simpanan. “Kalau kadar sewaan RM800 sebulan, mungkin RM500 adalah bayaran rumah manakala RM300 dijadikan simpanan.

“Selepas lima tahun, dia akan dapat balik RM18,000. Dengan jumlah itu, dia boleh beli balik rumah-rumah yang kita sediakan di bawah Residensi Wilayah atau Residensi Prihatin kerana dia mempunyai duit tersimpan.“Kalau rumah satu bilik, sewa mungkin RM500, daripada jumlah itu mungkin RM300 sewa dan RM200 simpanan,” ujarnya sambil menambah ia akan diperincikan.

Mengulas lanjut, Muhammad Azmi berkata, selain ‘console home’, program sewaan turut melibatkan ‘micro home’, rumah pekerja, PA dan PPR DBKL. Tambah beliau, blok PA DBKL yang berusia lebih 30 tahun pula akan dibangunkan semula seperti di Jalan Ikan Emas, Flat Sri Johor dan Sri Melaka.

Sumber: Wilayahku

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut