Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) sedang menjalankan siasatan terhadap pengusaha rawatan yang mendakwa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit dengan menggunakan air perigi di sebuah tapak perkhemahan di Rembau.
Menurut Pengarah JKNNS, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid, Pejabat Kesihatan Daerah Rembau sedang melaksanakan pemeriksaan menyeluruh isu ini yang telah mendapat perhatian meluas dalam media sosial.
Beliau tidak boleh memberi sebarang komen kerana siasatan masih terlalu awal dan ia bukan sahaja disiasat oleh Jabatan Kesihatan, tetapi juga melibatkan pelbagai agensi. Baru-baru ini tular melalui media sosial mengenai penggunaan air dari sebuah perigi di Rembau didakwa mampu memberi manfaat kesihatan kepada individu yang menghidap pelbagai penyakit termasuk strok menerusi teknologi rawatan khas.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi aplikasi X semalam memberi respons akan mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan.
Sumber: Sinar Harian