WARGA CHINA ANTARA 160 RAKYAT ASING DITAHAN BEKERJA TANPA PERMIT

LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 160 warga asing termasuk warga China kerana bekerja tanpa permit sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Semua tangkapan berkenaan membabitkan daerah ini dan Semporna dalam operasi penguatkuasaan yang bermula kira-kira 9 pagi semalam dan berakhir jam 4 pagi tadi.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dalam operasi di Lahad Datu, seramai 200 individu diperiksa dan 149 warganegara asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Tahanan terdiri daripada 94 lelaki dan 53 wanita berusia antara satu tahun hingga 79 tahun dengan majoriti berasal dari Filipina dan Indonesia.

“Lokasi serbuan membabitkan dua kawasan penempatan haram dan satu penempatan pekerja sebuah syarikat kuari,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan ini dilakukan susulan dan maklumat risikan dan dalam operasi ini juga dua warga tempatan ditahan kerana disyaki melindungi PATI.

Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof melakukan pemeriksaan dalam operasi penguatkuasaan di Lahad Datu.

Sementara itu di Semporna, menurutnya seramai 11 warga asing ditahan iaitu tujuh warga China dan empat warga Filipina kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.

“Operasi ini bertujuan untuk menangani isu penghijrahan tanpa izin dan penempatan haram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Katanya lagi, semua warga China yang ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi tujuan bekerja di tapak pembinaan resort di Semporna, JIM juga sedang mengesan majikan dan pemilik premis yang terbabit untuk disiasat dibawah Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Tawau untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas, begitu juga dengan majikan serta individu yang melindungi PATI di negara ini,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber:  INFO X

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …