Ayer Keroh – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka menyambut baik saranan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang meminta semua kaunter perkhidmatan di negeri ini kekal beroperasi pada waktu rehat.
Pengarah JPJ Negeri Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata, pihaknya telah mula melaksanakan pembukaan kaunter pada waktu rehat sejak tahun 2017 bagi memudahkan orang ramai.
“Antara kaunter perkhidmatan JPJ yang sering dimanfaatkan orang ramai pada waktu rehat tengah hari adalah seperti urusan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).
“Pelaksanaan ini telah hampir tujuh tahun dilakukan JPJ untuk membantu mempermudahkan pelbagai urusan oleh orang ramai meskipun pada waktu rehat tengah hari.
“Ia juga termasuk pada perkhidmatan di mana-mana kaunter van bergerak JPJ Mobile yang telah dilancarkan beberapa tahun lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
“Ini bukan sahaja memudahkan orang ramai, tetapi ia juga lebih cepat dan selamat,” katanya.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)