MENGAPA RAMAI ANAK MUDA JATUH BANKRAP?

Isu kebankrapan di kalangan anak muda semakin membimbangkan, terutama apabila melihat statistik terkini dari Jabatan Insolvensi Malaysia. Antara faktor utama adalah pinjaman peribadi yang menjadi punca kebankrapan terbesar, menyumbang kepada 49.12% kes. Ini melibatkan sebanyak 16,937 kes, di mana golongan berusia 35 hingga 44 tahun mencatatkan jumlah tertinggi (13,255 kes) diikuti oleh mereka yang berusia 34 tahun ke bawah (6,633 kes).

Pinjaman peribadi yang sering digunakan untuk keperluan seperti membeli kenderaan, deposit pinjaman rumah, persiapan perkahwinan, membeli telefon pintar, percutian, serta modal memulakan perniagaan menjadi faktor utama yang menjerumuskan anak muda dalam perangkap hutang.

Tahap Kesedaran Rendah terhadap AKPK

Walaupun Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ditubuhkan pada tahun 2006 untuk membantu masyarakat menguruskan kewangan dan memberikan nasihat kredit, tahap kesedaran terhadap peranan AKPK masih rendah. Kajian yang dijalankan oleh UKM pada tahun 2021 mendapati hanya 37% masyarakat mendapatkan bantuan kewangan dan 32% merujuk untuk khidmat nasihat kewangan.

Lebih mengejutkan, daripada kajian ini juga, 58% responden dalam kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) berumur bawah 40 tahun masih kurang pengetahuan tentang pengurusan kewangan.

Peningkatan Had Keberhutangan

Sejak tahun 1967, had keberhutangan maksimum yang dibenarkan untuk mengisytiharkan seseorang sebagai bankrap telah meningkat secara mendadak. Bermula dengan RM2,000 pada tahun 1967, ia meningkat kepada RM100,000 pada tahun 2020. Perubahan ini menandakan bahawa kadar hutang semakin meningkat seiring dengan kos hidup yang semakin tinggi, sekaligus meningkatkan risiko kebankrapan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kesimpulan

Kebankrapan dalam kalangan anak muda Malaysia berpunca daripada pengurusan kewangan yang lemah, beban hutang peribadi, dan kesedaran yang rendah terhadap bantuan seperti AKPK. Langkah-langkah pendidikan kewangan yang lebih meluas dan kesedaran tentang peranan AKPK perlu diperkukuhkan untuk mengelakkan lebih ramai anak muda terjerumus dalam krisis kewangan ini.

Sumber: TSIS

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …