INISIATIF PEMBANGUNAN JAGUNG BIJIAN BERSEPADU DI SABAH, SARAWAK

KOTA KINABALU: Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga (JPH) di Sabah, Sarawak dan Labuan yang diadakan di sini hari ini bersetuju supaya inisiatif pembangunan jagung bijian secara bersepadu dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata ini bagi mengurangkan kebergantungan import sumber makanan industri ternakan yang selama ini menyumbang kepada faktor kos pengeluaran dan harga bekalan tinggi di pasaran.

Beliau berkata mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang  juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu turut memutuskan supaya kerajaan Sabah dan Sarawak dilibatkan secara kolaboratif dan holistik dalam inisiatif tersebut.

“Penglibatan (kerajaan Sabah dan Sarawak) adalah melalui Jawatankuasa Industri Jagung Bijian Negara (NGCIC) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Seri Mohamad Sabu),” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat juga mengambil maklum inisiatif dan syor dikemukakan kerajaan kedua-dua negeri itu dan meminta supaya ia dijadikan rujukan dalam Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Labuan serta dipertimbangkan oleh kementerian serta agensi Persekutuan berkaitan.

Armizan berkata mesyuarat turut mengambil maklum mengenai dapatan awal Kajian Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Labuan yang telah dimulakan pada Mei lepas dan dijangka selesai pada November ini, sebelum dibentangkan kepada mesyuarat jawatankuasa itu pada Disember.

“Hasil dan dapatan daripada kajian ini akan dijadikan sebagai asas pertimbangan bagi penambahbaikan inisiatif sedia ada dan cadangan inisiatif baharu pada masa akan datang berkaitan penstabilan harga di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber:  Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …