ROMPIN, 7 SEPTEMBER 2024 : Lebih 20,000 pengunjung dijangka membanjiri Rompin bagi menyaksikan tiga acara besar yang kini sedang berlangsung di daerah itu iaitu Moh Karnival Makmur, Rompin Food Festival dan Royal Pahang Billfish International Challenge 2024.
Wakil YAB Menteri Besar Pahang, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim berkata, orang ramai dijemput memeriahkan kesemua acara yang akan berlangsung sepanjang minggu ini sehingga minggu hadapan.
“Kebetulan juga pada minggu ini selain daripada Karnival Makmur ini akan bersambung dengan Rompin Fest dan dalam masa juga, esok dan lusa kita ada juga pertandingan memancing peringkat antarabangsa Royal Billfish International Challenge, ada tiga event yang besar dalam tempoh (ini),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili YAB Menteri Besar Pahang merasmikan Karnival Makmur Pahang Peringkat Daerah Rompin di Pantai Hiburan, Kuala Rompin.
Hadir sama ialah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain dan Pegawai Daerah Rompin, YBrs Tuan Muhammad Hatta Kassim.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian cek sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM10,000 kepada juara Certiport’s Adobe Certified Professional World Championship 2024, Izzul Zafran Abd Razak, 20, pada pertandingan yang telah berlangsung di Anaheim, California, Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu.
Kira-kira 10,000 pengunjung yang hadir pada majlis perasmian itu turut dihidangkan dengan ceramah oleh Syamsul Debat.
Karnival Makmur Rompin turut menyediakan sebanyak 38 pempamer daripada pelbagai agensi swasta dan kerajaan.
Orang ramai khususnya penduduk Rompin dijemput hadir memeriahkan karnival yang kini sedang berlangsung dengan menyediakan pelbagai acara bagi setiap peringkat umur.
SUMBER: PAHANGMEDIA