PENGANGGUR HILANG SIMPANAN HAMPIR RM350,000 ANGKARA SKIM PELABURAN PALSU

KUANTAN: Akibat terpedaya dengan tawaran lumayan, seorang penganggur terpaksa berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM348,500 lesap selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, lelaki berusia 47 tahun dari Kuantan itu menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri dari sebuah bank pelaburan pada 17 April lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya ditawarkan menyertai pelaburan di United Kingdom sebelum meminta mangsa muat turun satu aplikasi.

“Mangsa juga diberikan latihan secara dalam talian mengenai cara membuat pelaburan dalam sistem terbabit.

“Dalam tempoh 18 Jun lalu hingga 10 Ogos lalu, mangsa memasukkan wang berjumlah RM348,500 dengan melakukan 10 transaksi ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.

“Mangsa mula menyedari ditipu selepas suspek meminta RM101,000 sekiranya tidak berminat untuk meneruskan pelaburan terbabit,” katanya dalam kenyataan ri ini.

Yahaya berkata, siasatan mendapati sumber kewangan adalah wang simpanan mangsa dan isterinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

SUMBER: BH

Artikel/Berita Terkini

Ramai orang dah lama berhenti kira langkah. Mengapa?

Sebabnya satu. 10,000 langkah sehari terasa macam sasaran untuk atlet, bukan untuk orang yang duduk depan komputer lapan jam, balik …

Sokongan Positif Bantu Anak Lancar Membaca

Kemahiran membaca adalah asas penting dalam perkembangan pendidikan kanak-kanak untuk kelancaran proses pembelajaran. Namun, ibu bapa perlu menyedari bahawa kesukaran …

ECRL Rangsang Kargo SG4

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi menjadi pemangkin utama pembangunan perindustrian bagi empat negeri di bawah gagasan SG4, terutamanya melalui …