SABAH TINGKATKAN SEKTOR PELANCONGAN KESIHATAN PERUBATAN

RASMI: Hajiji (empat kiri) ketika hadir merasmikan pembukaan Pusat Kecemerlangan Premier Kesihatan Eropah di Alam Mesra.

KOTA KINABALU: Pembukaan Pusat Kecemerlangan Premier Kesihatan Eropah di Alam Mesra, di sini dilihat dapat meningkatkan sektor pelancongan kesihatan dan perubatan di negeri ini.

Pusat ini dijangka dapat menarik penyelidik dari seluruh dunia untuk berkongsi kepakaran mereka dalam bidang perubatan dan sains.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kesihatan perubatan adalah sektor dinamik dan menawarkan pulangan yang baik serta menyumbang kemajuan dalam penjagaan kesihatan.

“Saya difahamkan kemudahan ini akan menawarkan lebih daripada penjagaan kesihatan konvensional, menggabungkan sains perubatan terkini dengan kuasa penyembuhan alam semula jadi di Sabah.

“Pusat ini dikendalikan oleh saintis sel stem terkenal dunia Prof Datuk Seri Dr Mike Chan dan isterinya, pengasas bersama Prof Datuk Seri Dr Michelle Wong yang berasal dari Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pusat Kecemerlangan Premier Kesihatan Eropah, di sini hari ini.

Hajiji memuji Dr Mike Chan kerana menepati janjinya membawa perniagaannya ke sini dan menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan kesihatan perubatan bertaraf dunia.

Katanya, kerajaan negeri berterima kasih atas pelaburan ini dan visi kedua-dua mereka telah menghadiahkan sebuah kemudahan yang pasti akan mengubah kehidupan rakyat Sabah.

“Sabah adalah negeri paling strategik di Asia Tenggara dan menjadi teras negara Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) serta rantau ASEAN.

“Saya membayangkan Sabah dapat berkembang menjadi penghubung serantau untuk banyak prospek pelaburan, termasuk pelancongan kesihatan perubatan,” katanya.

Menurutnya, penubuhan pusat ini membuktikan keyakinan pelabur bahawa Sabah adalah tempat yang baik dan kondusif untuk melabur.

“Ia adalah satu lagi usaha penting dan komitmen kerajaan negeri untuk memajukan Sabah seperti yang digariskan dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Dalam era kesihatan dan kesejahteraan telah menjadi keutamaan global, Sabah meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam revolusi ini,” katanya.

Hajiji berkata, perkara paling penting adalah pelaburan ke Sabah dapat memberikan banyak peluang pekerjaan, menarik tenaga profesional dan dapat menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri.

“Rakyat Sabah perlu membuktikan kepada dunia bahawa kecemerlangan kita melangkaui keindahan semula jadi ke sempadan sains.

“Kita bukan sahaja penerima kemajuan, tetapi memacunya dan meletakkan Sabah sebagai kuasa sebenar dalam kesihatan dan inovasi,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

JURUTERBANG RUGI HAMPIR RM200,000 TERPEDAYA PAKEJ HAJI PALSU

Seorang juruterbang wanita di sebuah syarikat penerbangan mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan tawaran pakej haji yang tidak wujud …
Maklumat Lanjut

STPM 2024: NEGERI SEMBILAN LEPASI PNGK KEBANGSAAN BUAT PERTAMA KALI

Negeri Sembilan mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali melepasi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Kebangsaan iaitu 2.85 bagi peperiksaan …
Maklumat Lanjut

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut