PKPD: MENARA CITY ONE

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One, Jalan Munshi Abdullah merupakan PKPD pertama di Kuala Lumpur yang mula berkuatkuasa pada 31 Mac 2020 sehingga 13 April 2020 dan kemudiannya dilanjutkan sehingga 03 Mei 2020. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dilaksanakan bertujuan membendung dan memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 daripada terus menular keluar. Langkah ini juga akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Keputusan Kerajaan untuk melaksanakan PKPD di Menara City One berikutan  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah  mengesahkan terdapat 17 jangkitan positif Covid-19 di kawasan itu. PKPD ini telah melibatkan hampir 3200 penghuni  dari 502 unit kediaman dan premis perniagaan.

Keadaan geografi dan persekitarannya yang sangat berbeza dengan PKPD Simpang Renggam dan PKPD Sg. Lui. Hampir 93% daripada jumlah penduduk di sini adalah warga asing daripada India, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Myanmar dan lain-lain lagi. Kelihatan mudah tetapi hakikatnya ia amat sukar. Kebanyakan penghuni di sini adalah penyewa dan JMB atau persatuan penduduk tiada data lengkap, bangunan yang diubah suai, penghuni yang tidak mempunyai dokumen sah dan lain lain lagi.

Dalam pengurusan PKPD di Menara City One, Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) dan Persatuan Penduduk memainkan peranan penting dalam memberi maklumat dan data penduduk selain daripada sebagai saluran komunikasi  dan hebahan maklumat.

Antara tindakan yang telah diambil bagi memastikan PKPD ini berjaya ialah:

  • Semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
  • Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
  • Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan di menara itu dengan tempoh masa pembukaan yang terhad.
  • Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar ke lobi keselamatan pintu utama menara.
  • Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
  • Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.
  • Seluruh kawasan akan dipasang dengan kawat duri sebagai usaha untuk memastikan tiada cubaan untuk keluar daripada kawasan PKPD

Komander Lapangan bagi operasi ialah YDH ACP Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah, Ketua Polis Daerah Dang Wangi. Beliau telah mengoperasikan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk memastikan semua perancangan dan tindakan operasi dapat diselaraskan.

Bantuan logistik seperti khemah, kerusi, meja, tandas bergerak dan sebagainya telah disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bantuan makanan dan kebajikan pula telah diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan bantuan dan sumbangan daripada Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jabatan Agama Islama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan kedutaan-kedutaan asing.

Agihan makan dan bantuan telah diedarkan oleh petugas daripada Angkatan Pertahan Awam dan Jabatan Ikatan Relawan (RELA) dengan diiringi oleh anggota PDRM. Semua petugas bantuan ini perlu memakai set PPE yang lengkap. Dalam masa yang sama petugas kesihatan giat melakukan saringan ke atas semua individu. Seramai 55 orang yang positif Covid-19 telah dihantar ke hospital dan kontak rapat telah diasingkan ke pusat kuarantin yang telah digazetkan.

Kesungguhan semua pihak dalam memutuskan rangkaian penularan Covid-19 di PKPD Menara City One telah membuahkan hasil. Segala keputusan dan tindakan akan dijadikan panduan bagi pelaksanaan di kawasan PKPD di Selangor Mansion dan Malayan Mansion.  Pengurusan krisis pastinya akan sentiasa diperbaiki dari masa ke semasa selaras dengan pengalaman. Tiada yang mustahil andai kita semua berusaha dan bukan SEKADAR BUAT!!!

 

Gambar : Ihsan daripada FB Polis Kuala Lumpur

Artikel/Berita Terkini

SELAMATKAN DIRI DENGAN UBAH KEPADA GAYA HIDUP SIHAT

Kesihatan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat atau negara. Tanpa disedari, corak …
Maklumat Lanjut

KEPKAS AMBIL TINDAKAN SUSULAN INSIDEN PELANCONG CHINA CEDERA AKTIVITI PARAGLIDING DI RANAU

KOTA KINABALU (30 April): Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar melalui agensinya Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang membuat susulan berhubung …
Maklumat Lanjut

PESTA KAAMATAN MENGINGATKAN SEMUA UNTUK BERUSAHA LEBIH GIAT LAGI: HAJIJI

RANAU (1 Mei): Sambutan Pesta Kaamatan memberi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan …
Maklumat Lanjut