Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh bersejarah bagi seluruh rakyat negara Malaysia kerana pada detik tersebut negara kita mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan adalah satu rahmat besar yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Rahmat ini diturunkan bukan hanya untuk orang Islam atau Melayu, bahkan dapat juga dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, malah juga kesemua makhluk yang ada di atas muka bumi. Kemerdekaan dari satu sudut boleh difahami sebagai bebas dari perhambaan, keterikatan, lepas dari dikenakan tuntutan, tidak bergantung nasib kepada orang, bangsa atau negara lain.
Merdeka juga bermakna bebas daripada belenggu kelemahan peribadi dan keruntuhan moral, penyakit dan kemiskinan yang menghalang manusia dari mencapai darjat kemanusiaannya sejati.
Β Dalam konteks negara, kemerdekaan bermaksud terlepas daripada penjajahan politik, ketenteraan, ekonomi, budaya, informasi dan sebagainya. Kemerdekaan juga adalah suatu tuntutan. Sebagai contoh, pembukaan Makkah oleh Baginda Rasulullah SAW merupakan satu pencapaian kemerdekaan yang sangat bermakna dalam sejarah Islam.
Ia adalah lambang kepada pembebasan manusia daripada belenggu kejahilan.
Dalam konteks agama Islam, kebebasan yang ingin dicapai mestilah berdasarkan apa yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan Hadis. Maksud kemerdekaan sebenar adalah kebebasan umat manusia daripada dorongan hawa nafsu, kebebasan manusia daripada cintakan dunia yang melampau sehingga mengenepikan akhirat. Selain daripada itu, kita juga mestilah berusaha untuk membebaskan jiwa dan minda kita daripada hasutan serta bisikan syaitan yang sentiasa mengajak kita melakukan perkara dimurkai Allah SWT.
Β Justeru itu, marilah sama-sama kita memerdekakan diri kita dari belenggu “penjajahanβ dengan kembali memahami, menghayati dan mengamalkan Islam sejati. Mudah-mudahan usaha kita dalam memerdekakan kehidupan kita ini mendapat keredhaan daripada Allah SWT serta menjadikan kita hamba-Nya yang sentiasa mensyukuri nikmat diberikan-Nya.
Β