Kemerdekaan negara yang telah diwariskan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj harus sentiasa dipulihara bagi memastikan Malaysia terus kekal berdaulat.
PM berkata seluruh rakyat Malaysia juga memiliki tanggungjawab untuk memberi makna kepada nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang dikecapi sejak 67 tahun lepas.
Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia MADANI yang sentiasa saling hormat menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban yang diseliputi sifat ihsan selain saling membantu bagi memastikan masyarakat hidup sejahtera tanpa bersengketa.
Tanggungjawab ini juga yang disebut oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam pemasyhuran kemerdekaan 67 tahun yang lepas, iaitu negara ini hendaklah kekal merdeka dan berdaulat, dan seluruh rakyatnya aman, sejahtera dan sentosa selama-lamanya.
Malah Almarhum Tunku Abdul Rahman adalah insan yang bertanggungjawab menubuhkan Association of Southeast Asia (ASA) yang dianggotai oleh Malaya, Thailand dan Filipina pada tahun 1961.
ASA kemudiannya berubah menjadi ASEAN yang kini dianggotai oleh 10 negara, sekali gus jelas membuktikan jasa dan sumbangan Tunku bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di negaranya sendiri tapi turut dikecapi oleh negara-negara serantau.
Sumber: Bernama