TIGA SEKAWAN DIDAKWA SIMPAN BURUNG DILINDUNGI TANPA PERMIT

Tiga sekawan termasuk seorang anggota pasukan keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menyimpan spesies burung hidupan liar yang dilindungi tanpa permit tahun lalu. Suria Mat Yunus, 48 yang merupakan kontraktor; Muhammad Ikwan Mat Yusoff, 26, yang merupakan anggota pasukan keselamatan dan Muhammad Fitri Zali, 24, bekerja sebagai operator mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ikwan didapati menyimpan dua ekor burung daun sayap biru iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa suatu permit khas. Suria pula berdepan tiga pertuduhan menyimpan seekor burung daun sayap biru, burung scarlet minivet dan burung sultan tit, manakala Muhammad Fitri berdepan dua pertuduhan menyimpan seekor burung daun sayap biru dan dua ekor burung bayan serindit. Kesalahan itu dilakukan pada 19 November 2023 jam lebih kurang 12.20 tengah hari di Jalan Kampung Langkap, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah.

Berikutan itu mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010(Akta 716) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 68(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar(Pindaan) 2022 [Akta A1646]. Sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.Muhammad Fitri turut didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010(Akta 716) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan 2022) [Akta A1646]. Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore G Bolongon menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Kesemua mereka yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan rendah kerana masing-masing mempunyai tanggungan. Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Ikwan diikat jamin RM2,000 manakala Suria dan Muhammad Fitri masing-masing diikat jamin RM4,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan. Mereka juga dilarang mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga dan mahkamah menetapkan 25 September depan untuk sebutan semula kes.

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …