IMAM, GURU ANTARA 14 DISYAKI PENGIKUT MILLAH ABRAHAM DIHADAPKAN KE MAHKAMAH SYARIAH

BATU PAHAT: Masing-masing seorang imam dan guru penolong kanan ialah antara 14 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini, atas pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama serta memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.

Mereka terdiri daripada 11 lelaki serta tiga wanita berusia 30 hingga 70 tahun yang didakwa secara berasingan atas satu atau dua pertuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13 (1) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003.

Dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, selain dikenakan pelucutan hak dan juga sesi kaunseling.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Syahir Sahab.

Prosiding itu adalah sebutan bagi memindahkan kes mengikut daerah masing-masing (dakwaan tempat kejadian) selari dengan Seksyen 67 enakmen sama.

Mereka kemudian dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan dengan dua penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Ahmad Wafi Abdullah, manakala semua tertuduh tiada diwakili peguam.

Terdahulu, kesemua tertuduh dibawa menaiki van Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) dengan dikawal ketat anggota penguat kuasa dan polis.

Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan dalam operasi khas di beberapa daerah negeri ini, termasuk Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian, 1 Ogos lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 17 individu ditahan kerana disyaki pengikut ajaran Millah Abraham sebelum dibawa ke jabatan agama untuk disoal siasat.

Sebelum itu, JAINJ mengesan penyebaran ajaran Millah Abraham susulan laporan polis diterima berhubung pergerakan anggota kumpulan terbabit.

Hasil siasatan awal mendapati mereka dipercayai turut cuba menyebarkan ajaran itu kepada ahli keluarga dan masyarakat di negeri ini.

Ajaran ini telah difatwakan haram pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Antara fahaman salah ajaran sesat itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.

Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa berdasarkan kitab tafsir.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

WANITA MENGAKU TAK SALAH SEDIA KHIDMAT KLINIK GIGI HARAM

Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

POLIS TEMBAK MATI 2 PENJENAYAH KES SAMUN, EDAR DADAH DI NILAI

Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir …
Maklumat Lanjut