BERHULU CAMP TAWAR PERCUTIAN ALA KAMPUNG

TERLETAK di pinggir Hutan Lipur Jeram Serting Ulu, Jempol, Negeri Sembilan dan lokasinya pula berada dalam dusun buah durian dengan dikelilingi suasana alam semula jadi yang mendamaikan. Itu gambaran menarik di Berhulu Camp di sini buat peminat perkhemahan sama ada datang bersama ahli keluarga ataupun mereka yang ingin menjalankan seminar atau kursus motivasi.

Kem yang diusahakan oleh dua sahabat, Mohd Hanif Abd Manaf, 42, dan Amir Zulhairi Mohd Yusof, 48, itu mula beroperasi pada tahun 2010 dengan keluasan 45 hektar. Terletak hanya 12 kilometer dari Pekan Batu Kikir dan empat kilometer dari Pekan Simpang Pertang, Jelebu, selain berhampiran dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Pasoh menjadikan lokasi ini antara pilihan si pencinta alam.

Menurut Mohd Hanif, pihaknya menyediakan tapak perkhemahan, chalet, tempat berkursus atau seminar, padang kawad untuk aktiviti badan beruniform dan percutian keluarga ala kampung, majlis keramaian termasuklah pusat rekreasi lasak dan motorcross. Pada asalnya usaha ini sekadar hobi sahaja dengan melibatkan sukarelawan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jempol. Mereka ini merupakan jurulatih motivasi yang berpengalaman luas hampir 25 tahun. Ia bagi membantu sekolah, persatuan dan agensi kerajaan mengadakan program-program motivasi pelajar, kem perkhemahan dan kursus belia secara percuma sebelum ia beroperasi secara rasmi lebih 10 tahun lalu dengan mengenakan bayaran dengan harga bajet.

Kem berkenaan boleh menempatkan kira-kira 300 orang peserta dalam satu-satu masa dengan kekuatan 30 kakitangan. Pihaknya meletakkan kem ini sebagai aliran efektif kepada semua golongan, tidak terhad kepada pelajar sekolah dan golongan bekerjaya semata-mata sebab sesiapa sahaja boleh menyertai perkhemahan. Pihaknya juga mahu mereka menikmati suasana di sini jauh daripada hiruk pikuk, atau cas semula tenaga positif sebelum memulakan kembali urusan masing-masing sekali gus mengembalikan semangat untuk meneruskan pekerjaan.

Di sini juga terdapat jeram yang cantik serta airnya sangat jernih dan sekiranya musim buah-buahan pula, mereka boleh makan puas-puas. Bagi pemancing mereka boleh melakukan aktiviti tersebut kerana berhampiran kem terdapat lapan buah kolam ikan yang diusahakan oleh belia Kampung Serting Ulu.

Sumber: Sinar Harian

 

Artikel/Berita Terkini

WANITA MENGAKU TAK SALAH SEDIA KHIDMAT KLINIK GIGI HARAM

Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

POLIS TEMBAK MATI 2 PENJENAYAH KES SAMUN, EDAR DADAH DI NILAI

Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir …
Maklumat Lanjut