SIJIL PALSU: KPT BUAT LAPORAN POLIS

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan segera membuat laporan polis berkaitan dakwaan penjualan sijil akademik dari peringkat sekolah hingga pengajian tinggi seperti dilaporkan akhbar tempatan semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah ini mencerminkan keseriusan KPT yang tidak berkompromi dalam memastikan tindakan tegas dikenakan kepada mana-mana institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) atau individu yang didapati terlibat.

“Saya ingin mengingatkan kepada IPTS dan IPTS agar tidak membenarkan kegiatan seumpama ini daripada terus berlaku kerana ia akan mengelirukan orang ramai dan merosakkan imej institusi universiti.

“KPT akan terus komited untuk memastikan sistem pendidikan tinggi tidak tercemar dan menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Media melaporkan sindiket penjualan sijil akademik palsu secara dalam talian yang secara terang-terangan mempromosikan kegiatan mereka di media sosial pada harga antara RM1,500 dan RM4,000.

Kegiatan itu didakwa menyasarkan individu yang terdesak untuk memiliki kelayakan akademik bagi tujuan mencari pekerjaan.

Zambry berkata terdapat beberapa kes penipuan sijil akademik telah berjaya dirungkai sebelum ini melalui aduan awam melibatkan sindiket penipuan yang memperdaya mangsa menggunakan nama institusi pendidikan tinggi.

Katanya, pemantauan dan kawal selia berterusan dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas IPTS selaras dengan Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) berkaitan pengeluaran sijil palsu.

Selain itu, katanya KPT mempunyai posedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan untuk memastikan kesahihan sijil akademik bagi tujuan pengesahan oleh orang awam.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan helah sindiket penipuan dan penjualan sijil akademik berkenaan.

Orang ramai boleh menyemak kelayakan dan maklumat berkenaan penerima Ijazah Kehormat dan Ijazah Kedoktoran di portal GREaT KPT melalui pautan https://dohe.mohe.gov.my/award/.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …