ISTANA PAHANG LAPOR POLIS PENGARAH TELCO GUNA GELARAN ‘DATUK SERI’ BELUM DIKURNIA

KUALA LUMPUR: Istana Pahang membuat laporan polis terhadap seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri yang belum dikurniakan dan masih dalam senarai menunggu.

Laporan itu dibuat di Kuantan pada Jumaat lalu oleh wakil Istana Pahang berikutan penggunaan gelaran Datuk Seri yang belum sah dikurniakan adalah satu kesalahan mengikut undang-undang negeri.

Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah, ketika dihubungi BH hari ini, mengesahkan laporan polis sudah dibuat selepas semakan mendapati individu terbabit belum menerima gelaran berkenaan daripada Sultan Pahang.

“Bila kita jalankan siasatan dalaman, individu itu didapati menggunakan gelaran Dato’ Sri tanpa dikalungkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang terlebih dahulu. Itu menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Negeri Pahang.

“Laporan polis sudah dibuat pada 26 Julai lalu supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan bagaimana individu berkenaan boleh mengguna pakai gelaran itu,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati lelaki berkenaan pernah dikurniakan gelaran Datuk pada 2015, namun untuk gelaran Datuk Seri, ia masih dalam senarai menunggu.

Difahamkan, semakan mengenai status gelaran digunakan individu terbabit dibuat dengan Unit Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan mendapati penama masih belum dikalungkan secara sah Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).

Mengenai perkembangan siasatan, Amir Syaffiq berkata, mereka dimaklumkan individu terbabit sudah dipanggil oleh polis untuk proses rakam keterangan di ibu negara.

“Kita sedang tunggu maklum balas lanjut daripada pengawai penyiasat JSJK (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial) berkait perkara itu,” katanya.

Untuk rekod, penggunaan gelaran Datuk Seri yang belum sah dikurniakan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 6 Undang-undang Negeri Pahang Pengisytiharan Gelaran, Pangkat Kemuliaan, Pangkat Kebesaran Dan Kurniaan Negeri Pahang 2019.

Sementara itu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, ketika dihubungi BH mengesahkan mengenai laporan polis itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap perkara berkenaan.

“Saya sahkan mengenai laporan polis berkenaan yang diterima pihak JSJK Pahang dan siasatan sedang berjalan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …