HARI INI DALAM SEJARAH KESELAMATAN: PERSETUJUAN PERTAHANAN MALAYSIA – BRITAIN

Pada hari ini (29 Julai) dalam tahun 1970, Malaysia dan Britain telah mencapai satu persetujuan yang kontraktif mengenai tanggungjawab pertahanan Britain dan penempatan tentera mereka di rantau ini.  Persetujuan ini dicapai dalam rundingan yang diadakan antara Pemangku Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dengan Setiausaha Pertahanan Britain, Lord Carrington serta pegawai-pegawai kedua-dua buah negara di Kuala Lumpur.  Tun Abdul Razak telah melahirkan rasa gembiranya terhadap kerajaan konservatif Britain yang baru yang telah memenuhi ikrarnya untuk terus mengekalkan tentera mereka di rantau sebelah ini.

Oleh itu, kedatangan Lord Carrington ke Malaysia adalah untuk menjelaskan kedudukan tentera Britain yang akan ditempatkan di Malaysia dan Singapura dan juga mengenai perjanjian pertahanan akan datang.  Rundingan antara Tun Abdul Razak dan Lord Carrington akan disambung seterusnya di peringkat pegawai dan menteri pada awal tahun hadapan.  Kedua-dua pihak menyatakan bahawa perjanjian pertahanan yang ada sekarang akan dikaji semula.

Di bawah perjanjian pertahanan sekarang, satu-satu pihak boleh memberi enam bulan notis untuk dihapuskan atau perjanjian tersebut masih terlaksana.  Lord Carrington telah menyatakan bahawa Britain akan terus mengekalkan ketiga-tiga bahagian tenteranya di kawasan ini walaupun selepas 1971.  Mengenai jumlah dan tempat penempatan tentera-tentera daratnya, ini akan diputuskan dalam perbincangan dengan kerajaan Malaysia, Singapura, Australia dan New Zealand.

Beliau menambah bahawa penempatan tentera-tentera Britain adalah merupakan tambahan kepada latihan-latihan lanjut yang dirancangkan untuk tentera Britain di Sekolah Perang Hutan di Ulu Tiram, Johor.  Sesungguhnya persetujuan pertahanan yang dicapai pada hari ini dalam tahun 1970, akan menambahkan kemantapan pertahanan di rantau ini di samping memberi kebaikan dan faedah kepada kedua-dua belah pihak.

 

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Artikel/Berita Terkini

MKN SELANGOR PERKASA KESEDARAN KESELAMATAN NEGARA MELALUI PROGRAM BICARA EKSEKUTIF GURU MUDA MADANI 2026

SUNGAI BULOH, 5 NOVEMBER 2026 – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan …

PENGHANTARAN PULANG DAN PENEMPATAN SEMULA KEKAL SEBAGAI KEUTAMAAN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Luar Negeri terus mengusahakan kerjasama dengan negara asal dan negara ketiga bagi penyelesaian jangka …

DOKUMEN PENDAFTARAN PELARIAN (DPP)

TUJUAN DOKUMEN PENDAFTARAN PELARIAN (DPP) Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bertujuan membantu Kerajaan mengurus pelarian di Malaysia secara lebih tersusun, selamat …