Pada 24 Julai dalam tahun 1972, Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia/Indonesia telah dilangsungkan di Parapat, Sumatera, Indonesia. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail telah mengetuai perwakilan 9 orang daripada kerajaan Malaysia menghadiri persidangan tersebut. Persidangan tersebut telah menekankan tentang perhubungan erat kedua-dua buah negara yang saling bergantung antara satu sama lain dalam usaha mencapai kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan hidup rakyat. Persidangan itu merupakan persidangan yang pertama bagi Jawatankuasa Am Sempadan setelah kira-kira 4 bulan kedua-kedua negara menandatangani peraturan dan hal keselamatan di sempadan. Ini merupakan satu usaha yang dijalankan oleh kedua-dua negara yang terbukti berhasil khususnya dalam membanteras anasir komunis di sempadan Kalimantan. Dengan berlangsungnya persidangan itu, pada hari ini dalam tahun 1972 adalah diharapkan bukan sahaja masalah komunis di sempadan bersama dapat dihapuskan tetapi juga dapat meningkatkan keselamatan kedua-dua negara supaya pembangunan untuk kesejahteraan rakyat dapat berjalan dengan lancar.
Sumber: Arkib Negara Malaysia



