KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) membongkar kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai yang menjadikan rumah sebagai ‘stor’ penyimpanan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tempasuk 1, Jalan Kudat, di sini, semalam.
Serbuan menerusi Operasi Op Taring Landai kira-kira jam 3.30 petang itu membawa rampasan 60,000 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM72,000.
Pegawai Pemerintahan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Polis, Roslee Abd Rahman berkata, anggota PPM Kota Kinabalu membuat serbuan berdasarkan maklumat awam.
Katanya, pemeriksaan ke atas rumah yang tidak bernombor itu turut mendapati tidak berpenghuni dan disyaki ada kegiatan menyimpan rokok tidak bercukai.
“Ketika serbuan pintu rumah berkenaan tidak berkunci. Selepas menjalankan pemeriksaan menemukan longgokan rokok pelbagai jenis disyaki rokok tidak bercukai.
“Pasukan serbuan kemudian merampas semua barang berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, rampasan rokok membabitkan 60,000 batang dan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM72,000.
“Semua rokok berkenaan dibawa ke Pejabat PPM Kota Kinabalu untuk laporan polis dan serahan kepada Jabatan Kastam.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
#BKN2024