OPERASI: Salmah bersama pasukan penguatkuasaan dan cawangan trafik ketika menjalankan operasi berkenaan.
TAWAU: Bahagian Kawalan Racun Perosak Dan Baja Sabah (BKRPB Sabah) menjalankan Operasi Penguatkuasaan di Batu 11, Jalan Apas, di sini, Khamis lalu.
Ketua Penolong Pengarah BKRPB Sabah, Salmah Labulla berkata, operasi berkenaan dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik Tawau.
Katanya, operasi itu dijalankan bagi membanteras aktiviti penjualan racun-racun haram atau racun yang tidak berdaftar.
“Kita telah memeriksa dua pacuan empat roda dan sebuah lori yang didapati membawa racun makhluk perosak di dalam kenderaan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, semua racun perosak yang mereka bawa adalah berdaftar dan mempunyai dokumen pembelian sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Salmah berkata, BKRPB Sabah serius dalam melaksanakan penguatkuasaan Akta Racun Makhluk Perosak 1974 bagi memastikan racun yang diimport, dikeluarkan dan dijual dalam negara adalah berkualiti.
“Selain itu, kita juga mahu memastikan penggunaan racun di negara ini tidak akan mendatangkan mudarat kepada pengguna, ternakan, tanaman makanan dan alam sekitar.
“Semua racun makhluk perosak perlu diuruskan secara berkesan selari dengan kehendak pembangunan lestari dengan mengambil kira aspek keselamatan kepada manusia dan kesejahteraan alam sekitar,” katanya.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Utusan Boreno Online