SKMM SIASAT AKAUN ‘BOLA TRIBE’ SUSULAN HANTARAN SENTUH ISU 3R, HASUTAN

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Beberapa hantaran tular oleh sebuah akaun media sosial dengan nama ‘Bola Tribe’ yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum, agama, insititusi diraja (3R) kini sedang disiasat Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata setakat ini pemilik akaun berkenaan sedang dikenal pasti oleh suruhanjaya berkenaan.

“Kemungkinan akaun ini adalah akaun palsu, yang memang terdapat beberapa hantaran berbaur 3R dan hasutan yang menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara SKMM dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

Terdahulu, penganut agama Buddha dan Taoisme dilaporkan terasa terganggu dengan penyebaran beberapa gambar kuil dan tokong secara tidak senonoh oleh akaun berkenaan. Majoriti netizen turut memberikan komen supaya tindakan diambil terhadap pemilik hantaran berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata beliau akan ke Singapura untuk bertemu dengan pengendali platform media sosial pada hujung bulan ini, bagi menegaskan pendirian kerajaan supaya platform media sosial mematuhi undang-undang untuk terus beroperasi di Malaysia.

“Sekiranya ingin beroperasi di Malaysia, mereka (platform media sosial) perlu patuh kepada undang-undang dan kita ingin pastikan hantaran-hantaran yang berbaur 3R atau pun cuba mengapi-apikan sentimen dalam masyarakat, dapat dikurangkan,” katanya.

– BERNAMA

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …