11 TUKUN TIRUAN KUBOID DI PERAIRAN KAMPUNG JUARA, PULAU SERI BUAT

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menempatkan 11 tukun tiruan jenis ‘kuboid juvenil’ berharga RM366,580 di perairan laut Kampung Juara dan Pulau Seri Buat dalam kawasan Taman Laut Pulau Tioman, Rompin, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata program melabuhkan tukun kali pertama pada tahun ini, diadakan selama dua hari.

Katanya, penggunaan tukun tiruan seberat 18 tan setiap satu itu bukan saja menjadi habitat pelbagai jenis ikan berkualiti tinggi, tetapi juga sebagai penghalang aktiviti pukat tunda di kawasan berkenaan.

“Sebelum ini kita melabuhkan tukun tiruan di perairan Kampung Mukut, Pulau Tioman termasuk tiga bot nelayan asing dijadikan tukun di kawasan di Kampung Tekek, Pulau Tioman.

“Sejak 2019 pihak jabatan telah membelanjakan lebih RM1.8 juta bagi pembangunan tukun tiruan di perairan negeri ini membabitkan perairan Taman Laut Pulau Tioman, Nenasi, Pekan, Cherok Paloh, Kuantan dan Kuala Pontian, di sini,” katanya, di sini semalam.

Abdullah yang turut sama menyertai program berkenaan berkata, pada tahun 2022 jabatan melabuhkan tukun tiruan jenis ‘kuboid juvenil’ di perairan Taman Laut Pulau Tulai.

Katanya, program melabuhkan tukun tiruan antara usaha di bawah Dasar Keterjaminan Makanan dilakukan Jabatan Perikanan Malaysia untuk memulihara tempat pembiakan dan habitat ikan serta memberi perlindungan pada sumber perikanan.

Katanya, ia turut dapat meningkatkan biodiversiti flora dan fauna di perairan Taman Laut Pulau Tioman yang terkenal sebagai destinasi pelancong bertaraf antarabangsa.

“Kajian dilakukan di perairan Kampung Nenasi, Pekan sebelum ini mendapati terdapat 26 spesies ikan komersial dan 28 jenis batu karang hidup dan membiak di kawasan tukun.

“Projek tukun tiruan yang diusahakan pada tahun ini dijangka memberi penambahan stok sumber ikan di perairan Taman Laut Kampung Juara dan Pulau Seri Buat.

“Limpahan sumber akan keluar daripada Taman Laut secara berterusan memasuki zon tangkapan serta memberi tambahan pendapatan kepada kira-kira 2,058 nelayan zon pantai negeri ini.

“Aktiviti pelancongan di Kampung Juara dan Pulau Seri Buat termasuk Pulau Tioman dijangka terus bertambah apabila peminat aktiviti menyelam dapat melihat pelbagai jenis ikan,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …