KEJIRANAN SELAMAT, MASYARAKAT BERKUALITI

Berada dalam satu komuniti/ kejiranan yang selamat adalah impian setiap insan lebih-lebih lagi bagi yang hidup berkeluarga.

Bahkan, ada saranan supaya sebelum membuat keputusan membeli rumah, selidik dahulu kawasan kejiranan di sana. Ini kerana kejiranan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup harian seseorang.

Jiran yang baik mampu mengurangkan beban yang anda hadapi, malah dapat membantu anda menyelesaikan masalah yang anda rasa tidak mampu lakukan sendiri. Jika anda mempunyai kejiranan yang bermasyarakat, pastinya kehidupan anda sekeluarga lebih harmoni dan tidak terlalu membosankan.

Ini dikuatkan lagi dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W yang menyatakan :

“Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan: Isteri solehah, rumah luas, kejiranan baik, kenderaan selesa.”

[Hadis Riwayat Ahmad]

 

Kejiranan baik

Selain keluasan rumah, kejiranan juga adalah wajaran yang perlu diambilkira. Silap pilih jiran, masalah remeh temeh akan mengganggu hidup. Islam memperbahaskan banyak perihal hak dan tanggungjawab berjiran. Selepas keluarga, jiranlah yang paling berhak untuk diambil berat.

Membina kejiranan baik perlu berlaku secara multi hala. Mulakan dengan diri sendiri dahulu. Ajar diri untuk berkongsi rezeki. Sekali sekala hantar karipap atau cekodok. Beri duit pada anak-anak mereka.

Cara paling baik untuk bergaul adalah dari masjid/ surau. Disiplinkan diri untuk hadir sekerap mungkin. Bina hubungan lepas solat. Dari situ, boleh membawa kepada aktiviti luar seperti berbasikal, hari keluarga gotong-royong, rondaan dan sebagainya.

Kadar Jenayah

Kadar jenayah di sesebuah kawasan perlu diambil kira bagi memastikan kehidupan anda dan keluarga selamat daripada sebarang aktiviti jenayah.

Selain itu, semak juga masalah sosial yang mungkin wujud di kawasan itu yang biasanya tertumpu di lokasi sunyi dan tidak padat dengan penduduk dan kurang pemantauan pihak berkuasa tempatan.

Cara paling mudah adalah dengan dengan menyertai Facebook Group komuniti kawasan setempat untuk menyemak sebarang laporan aktiviti jenayah dan sosial yang berlaku dari semasa ke semasa.

 

Tips Keselamatan Kejiranan

Stigma ‘Jaga Tepi Kain Orang’ perlu dibuang dalam isu kejiranan. Sudah pasti kita tidak mahu kejadian pecah rumah sebagai contoh, sewenangnya terjadi kerana jiran sekeliling sendiri tidak mengetahui serba sedikit mengenai keberadaan/ pergerakan dan juga aktiviti tuan rumah. Justeru, berikut dikongsikan beberapa tips untuk kejiranan yang lebih selamat :

  1. Jalinkan Hubungan Baik Dengan Jiran

Jika sebelum ini anda seorang yang lebih gemar buat hal sendiri, buanglah sikap tersebut. Ambil tahu siapa jiran sebelah rumah, depan rumah dan di belakang rumah.

Kenalpasti latar belakang jiran anda dari segi usia, bilangan anak-anak, pekerjaan, tahap kesihatan mereka serta gaya hidup mereka supaya anda dapatlah idea macam mana nak mendekati mereka nanti! 

  1. Bina Komuniti Kejiranan

Hidup berjiran ini saling memerlukan antara satu sama lain kerana anda berkongsi kemudahan di kediaman yang sama. Jadi, kesan daripada tindakan anda tetap akan mempengaruhi kejiranan yang lain walaupun 0.1%.

Sebab itulah pentingnya untuk membina organisasi supaya setiap orang akan berasa tanggungjawab terhadap satu sama lain.

Lantik ahli jawatankuasa (AJK) bagi unit-unit penting seperti unit keselamatan, kebersihan, aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.

  1. Mengatur Aktiviti Gotong-Royong

Jenayah tak kenal siapa. Budak baru lahir pun boleh menjadi mangsa cabul, tebusan wang ringgit atau bunuh.

Jika dilihat semula, kebanyakan kes jenayah lebih banyak terjadi di tempat tersembunyi seperti semak samun, kawasan terlindung, rumah sampah atau rumah kosong.

Cuba aturkan aktiviti gotong-royong bersama jiran tetangga pada setiap minggu atau sebulan sekali. Bahagikan tugas masing-masing mengikut jumlah fasiliti dan bilangan tenaga kerja yang ada.

Ia sebenarnya menjadi tanggungjawab anda sebagai jiran untuk memastikan kawasan kejiranan sentiasa bersih dan tidak terlindung dek semak samun yang menjalar di sekeliling rumah serta membina pagar atau tembok untuk menghalang daripada diceroboh oleh pencuri.

  1. Buka Tabung Keselamatan Kawasan Kejiranan

Mencegah lebih baik daripada merawat! Selain daripada memasang sistem keselamatan di rumah sendiri, anda kena tahu, jenayah terjadi berpunca daripada sistem keselamatan yang longgar di kawasan kejiranan itu sendiri.

Ada sesetengah kediaman yang tiada pondok pengawal, pagar automatik mahupun peronda. Jadi, eloklah ada inisiatif untuk mengumpul dana dari semua jiran tetangga.

Boleh gunakan untuk membina pondok pengawal, pemasangan pagar automatik, lampu jalan, CCTV, dan tembok di sekeliling perumahan. Buatlah kaji selidik, analisis, belanjawan dan garis masa untuk sesuatu projek yang anda dan jiran sedang usahakan.

Jangan lupa sentiasa update jiran-jiran anda tentang situasi terbaru di kawasan kejiranan tersebut dari semasa ke semasa supaya masing-masing menyedari akan keadaan keselamatan sesama sendiri.

Tapi kalau nak buat sistem keselamatan sendiri, dicadangkan anda untuk merujuk garis panduan dikeluarkan KPKT ni supaya tak timbul masalah lain pula!

  1. Berkongsi Maklumat Alat Keselamatan Rumah

Kebanyakan dari kita selalunya ambil mudah dengan susunan peralatan merbahaya di rumah seperti pisau, gunting, paku, penukul atau alat elektronik yang sering dipamerkan secara terang-terangan atau diletakkan di tempat yang mudah dicapai.

Hari-hari biasa mungkin ia tidak kelihatan merbahaya tetapi, penceroboh ni akan mencapai apa sahaja benda di depan mata mereka untuk mengancam nyawa anda!

Jadi, apa kata anda berkongsi jenis-jenis perlatan untuk keselamatan rumah dengan jiran tetangga anda?

Ada banyak jenis kemudahan penyimpanan barang-barang rumah serta alat keselamatan rumah yang mesra pengguna dijual secara atas talian seperti ALX 9 SLOT Knives Drawer OrganizerBosch tool bag storage boxKunci Tingkap KeselamatanSolar Alarm Sensor dan banyak lagi.

  1. Rancang Aktiviti Kesihatan Mental Dan Fizikal

Anda tahu tak bahawa situasi persekitaran mampu mempengaruhi tingkah laku seseorang? Jiran anda mungkin kelihatan baik-baik je tetapi tidak mustahil mereka sebenarnya mengalami kemurungan. Maka, cakna dan prihatinlah sebagai jiran.

  1. Wujudkan Peraturan Kejiranan

Bunyi macam mengongkong tetapi hakikatnya, undang-undang dan peraturan sebenarnya menjadi asas keselamatan dan keharmonian komuniti.

Anda kena ingat, dalam 50 buah rumah, belum tentu 25 daripadanya mempunyai kesedaran tentang keselamatan kawasan kejiranan.

Tak dinafikan memang susah nak dapatkan kerjasama dari semua pihak tetapi ianya tidak mustahil. Mana tahu dengan cara ini, ia dapat menyelamatkan banyak nyawa, betul tak? Bak kata orang putih, “you can’t make omelette without breaking eggs”!

Tapi, jangan pula letak peraturan yang mengarut. Cukup sekadar perkara yang mendorong kepada melindungi komuniti jiran dan meningkatkan keselamatan rumah masing-masing seperti tanaman dilarang tak terjaga sampai jadi semak atau pagar tidak boleh dibiarkan terbuka 24 jam.

8. Hulur Bantuan Kepada Jiran

Bila hidup berjiran ini, anda kena peka dengan perubahan kejiranan anda. Kalau sebelum ini pagar mereka berkunci tetapi tiba-tiba hari ini tidak berkunci atau rumah yang selama ini riuh-rendah menjadi sunyi, mesti ada yang tak kena!

Sentiasa hubungi mereka dan bertanya jika memerlukan apa-apa pertolongan seperti bantuan kewangan dan barang keperluan terutamanya untuk tujuan keselamatan di rumah.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA, majalahlabur.com, propertyguru.com.my

 

Artikel/Berita Terkini

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut

AKSI INTIM DI MEDIA SOSIAL: MENGAUT UNTUNG ATAU MEMPERJUDIKAN MARUAH BANGSA?

“Apabila nafsu dijadikan komoditi, dan privasi dijual beli seperti barang pasar, maka nilai sebuah maruah tidak lagi bermakna.” Fenomena merakam …
Maklumat Lanjut