TUMPU PEMELIHARAAN SUNGAI DI BANDAR SUNGAI LEMBING – SULTAN PAHANG

KUANTAN, 14 JUN 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah supaya sungai di tengah Bandar Sungai Lembing diberi lebih tumpuan bagi menghadapi banjir.

Baginda dalam titah turut menzahirkan kerisauan terhadap rakyat yang menghadapi musibah banjir.

“Saya ingat (sungai) yang tengah bandar ini kena bagi tumpuan sikit, dalamkan supaya air tak melimpah. Tinggi mana (kawasan) sekalipun kalau sungai cetek, air boleh melimpah ke bandar jadi di bandar kena fokus itu.

“Alhamdulillah, saya harap projek ini dapat disiap dalam masa yang ditetapkan kerana kita tidak mahu rakyat (yang tinggal) di Sungai Lembing ini sentiasa dihantui oleh musibah banjir, bukan sahaja tahun ke tahun tapi kadang-kadang bulan ke bulan. Jadi sudah sampai masa kita kena buat sesuatu di sini.

“Saya harap masa pembinaan, rakyat di sini harus bersabar dan dalam pada itu, saya juga berharap lepas siapnya projek ini, sungai ini perlu diselenggara dengan sebaik mungkin,” titah baginda.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (RU’RASA) di Kampung Batu 4, Jalan Sungai Lembing, hari ini.

Sementara itu, baginda bertitah bahawa usaha menjaga sungai-sungai di negeri ini adalah penting untuk kehidupan dan kesejahteraan bersama.

“Saya telah titah di daerah-daerah lain supaya jadikan sungai-sungai di Pahang sebagai satu sungai yang penting kepada kehidupan dan kesejahteraan kita dan bukan sebaliknya,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menekankan bahawa sungai-sungai harus dilindungi dengan adanya buffer zone (zon penampan) agar tiada industri dibina di sepanjang tepi sungai.

“Kita perlu pandang serius tentang penjagaan sungai di seluruh negeri dan saya dimaklumkan sudah pun diwartakan setiap sungai mempunyai satu buffer (penampan).

“Di Negeri Pahang, saya harap ia dapat dilaksanakan. Enforcement (penguatkuasaan) perlu ditingkatkan supaya kita dapat mengawal kualiti air di sungai Pahang, insyaAllah,” titah baginda.

Sementara itu, baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada wakil UAE yang telah hadir dan penerima penghuni rumah ini menjaga dengan baik tanpa menjual dan sebaliknya.

“Saya harap setiap penerima dan penghuni menjaga sebaik mungkin rumah ini dan saya harap biarlah rumah ini jadi syurga kepada keluarga kita sampai ke anak cucu.

“Jadikan rumah ini rumah pusaka. Janganlah cepat nak memikir untuk jual, cepat memikir untuk sewa. Itu bukan niat kita, niat kita ialah untuk memberi keselesaan kepada mereka-mereka yang memerlukan rumah khususnya mereka yang dapat sedikit masalah apabila banjir di kampung mereka.

“Alhamdulillah kita semua harus bersyukur dan berterima kasih dan seterusnya jadilah rakyat Pahang yang yang baik dan setia kepada Raja dan Negeri, insyaAllah,” titah baginda.

SUMBER: PAHANGMEDIA

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut