APMM TAHAN DUA BOT TEMPATAN DI TAWAU

TAWAU: Dua bot tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta perikanan dan Ordinan Perkapalan Saudagar di dua lokasi berasingan, di sini, semalam.

Kedua-dua bot berkenaan ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris di perairan daerah ini.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kes pertama membabitkan sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menunda pukat di kedudukan 1.5 batu nautika selatan Batu Tinagat pada jam 5.10 petang.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat lima lelaki warga asing memiliki permit kerja yang sah berusia 23 hingga 42 tahun di dalam bot berkenaan.

“Namun, bot berkenaan didapati melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menunda pukat di bawah jarak dua batu nautika daripada daratan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, sebuah lagi bot kargo membawa muatan buah sawit dari Pulau Sebatik ditahan di kedudukan 1.5 batu nautika barat daya Pelabuhan Tawau, kira-kira jam 6 petang.

“Tiga lelaki tempatan termasuk nakhoda berusia 24 hingga 59 tahun ditahan selepas mendapati lesen bot berkenaan telah tamat tempoh,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua bot bersama muatan dan krew terbabit dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan serta tindakan pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

“Semua barangan termasuk kedua-dua bot yang dianggarkan bernilai RM300,000 itu disita sehingga proses siasatan selesai.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO kerana didapati melanggar syarat sah lesen,” katanya.

Shahrizan menegaskan kepada komuniti maritim setempat supaya lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.

“APMM tidak akan berkompromi jika didapati pengusaha bot gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.

“Tugas penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Info X

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …