BUKIT AMAN LUMPUHKAN 5 KUMPULAN KONGSI GELAP DI SELANGOR

KUALA LUMPUR: Seramai 21 ahli kumpulan jenayah terancang daripada lima kumpulan kongsi gelap diberkas dalam serbuan Operasi Lima (Op Lima) oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Semua 21 ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08, Geng 21, Geng 18, Geng 24 dan Geng 36 diberkas dalam serbuan sekitar Johor, Pahang dan Selangor bermula 3 Mei hingga 30 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata semua 21 ahli kumpulan berusia antara 26 hingga 51 tahun itu aktif dalam kegiatan bunuh, dadah, pemerasan dan khianat dengan api.

“Semua mereka dari lima ahli kumpulan berbeza ini didapati aktif dalam kegiatan jenayah terancang di sekitar Selangor sejak tahun 2019.

“Pada masa ini kita mengesyaki sekurang-kurangnya 10 lagi ahli daripada lima kumpulan yang sama sudah lari menyembunyikan diri apabila menyedari ahli-ahli lain sudah diberkas,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, seramai 18 ahli kumpulan terbabit ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ditahan selama 28 hari manakala dua lagi ditahan reman.

“Hari ini 18 daripada mereka dituduh di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Klang, manakala dua lagi individu disambung reman.

“Seorang daripada mereka akan direman dalam masa terdekat selepas disahkan mengalami masalah kesihatan akibat jantung selepas dihantar ke Institut Jantung Negara.

“Pada masa sama JSJ Bukit Aman menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) dan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) sedang giat menjalankan tugas-tugas mengesan saki-baki ahli kumpulan kongsi gelap ini dalam usaha memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai modus operandi lima kumpulan jenayah terbabit yang dianggap berbeza berbanding sebelum ini.

“Pada masa ini mereka tidak lagi melakukan upacara angkat sumpah seperti kumpulan-kumpulan kongsi gelap lain sebaliknya hanya memberikan arahan tugasan kepada setiap ahlinya.

“Sebagai contoh, ketua atau pemimpin sebuah kumpulan akan mengarahkan ahlinya melakukan tugas pemerasan, pengedaran dadah atau melakukan pembunuhan,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …