KILANG HARAM DISERBU LAGI, MB BERI AMARAN KEPADA KETUA JABATAN

Berpuluh-puluh tan komponen barangan elektrik dan elektronik, logam serta plastik ditemui di dua kilang yang menjalankan aktiviti peleburan kitar semula secara haram di Kuala Sawah, Rantau dekat sini pada Isnin. Lokasi premis berkenaan yang agak tersorok dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu terletak kira-kira 500 meter dari Sungai Linggi dan Loji Rawatan Air Linggi. Ia dikesan dalam operasi bersepadu Op Toksik 3 yang melibatkan 90 anggota daripada pelbagai agensi. Apa yang membimbangkan, pemeriksaan mendapati terdapat kesan pencemaran air hasil limpahan sisa bahan kitar semula di sekitar kawasan premis memandangkan keadaan barangan terbabit yang diletakkan secara terdedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut turun padang nyata kesal apabila premis terbabit didapati telah pun beroperasi sejak tiga tahun lalu, tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Kecewa dengan keadaan itu, beliau dengan serta merta mengarahkan ketua jabatan bertanggungjawab agar mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pegawai yang menjaga kawasan berkenaan. Tegasnya, sekiranya ketua jabatan tidak bertindak, pihaknya akan mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk berbuat demikian. Beliau turut berharap penemuan seumpama itu tidak ada lagi di Negeri Sembilan kerana ia boleh memberi kemudaratan kepada masyarakat selain turut memberi amaran kepada semua ketua jabatan agar tidak mengambil mudah soal sesuatu prosedur yang digariskan dan sentiasa melakukan penguatkuasaan.

Sisa air yang tercemar hasil aktiviti haram dilakukan didapati dilepaskan terus masuk ke aliran Sungai Linggi dan mencemari sumber air sungai tersebut yang merupakan sumber tadahan air kepada penduduk di Port Dickson dan sebahagiannya di Seremban. Kedua-dua premis melakukan sembilan kesalahan utama, antaranya gagal mengemukakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi sisa buangan dan menjalankan aktiviti pelupusan secara haram di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. Kesalahan lain adalah melanggar syarat nyata tanah di bawah Kanun Tanah Negara. Empat kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Tred dan Perlesenan serta Akta Jalan Parit dan Bangunan.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

JURUTERBANG RUGI HAMPIR RM200,000 TERPEDAYA PAKEJ HAJI PALSU

Seorang juruterbang wanita di sebuah syarikat penerbangan mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan tawaran pakej haji yang tidak wujud …
Maklumat Lanjut

STPM 2024: NEGERI SEMBILAN LEPASI PNGK KEBANGSAAN BUAT PERTAMA KALI

Negeri Sembilan mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali melepasi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Kebangsaan iaitu 2.85 bagi peperiksaan …
Maklumat Lanjut

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut