SINDIKET DALANG JUAL PRODUK KESIHATAN PALSU TUMPAS

KUALA LUMPUR: Tujuh individu termasuk sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendalangi kegiatan penjualan produk kesihatan palsu serta memanipulasi imej dan suara seorang pakar mata terkemuka negara bergelar Datuk untuk tujuan promosi.

Empat daripada suspek termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan berasingan di Shah Alam, Selangor pada 21 dan 22 Mei lalu dan semua suspek adalah warga tempatan.

Pada 24 Mei lalu, tiga lagi individu ditahan iaitu seorang lelaki tempatan, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam dalam serbuan susulan yang dijalankan sekitar Klang, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata semua yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 51 tahun.

Beliau berkata, dua daripada yang ditahan adalah pengarah syarikat, manakala baki dua yang lain adalah pegawai pemasaran dan ahli perniagaan yang disyaki terbabit dengan penjualan produk kesihatan palsu.

‘Siasatan dan tangkapan dilakukan terhadap sindiket ini hasil laporan polis yang diterima daripada beberapa individu termasuk doktor pakar berkenaan, baru-baru ini.

“Berdasarkan laporan yang diterima, sindiket ini didakwa menggunakan gambar dan video pengadu yang juga seorang seorang pakar perubatan terkenal bagi mempromosi produk kesihatan sindiket terbabit,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Ramli berkata, perkara itu hanya diketahui mangsa apabila beliau dihubungi oleh beberapa individu lain bagi mendapatkan pengesahan berkenaan kesahihan produk yang diiklankan.

“Pengadu seterusnya melihat iklan yang dimaksudkan dan mengesahkan bahawa produk kesihatan tersebut tiada kaitan dengan syarikatnya.

“Kita percaya penggunaan tanpa kebenaran gambar dan video pengadu sebagai bahan promosi produk terbabit adalah bagi tujuan memperdaya orang ramai,” katanya.

Menerusi serbuan itu, katanya, polis turut merampas 18 kotak produk mata pelbagai jenama, empat bungkusan produk rawatan pelbagai jenama dan masing-masing satu monitor, laptop dan telefon bimbit.

“Empat individu yang ditahan dalam serbuan pertama telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala dua individu warga asing yang ditahan dalam serbuan susulan dibenarkan direman selama dua hari.

“Seorang lagi individu warga tempatan yang ditahan dalam serbuan kedua, direman tiga hari sehingga hari ini,” katanya.

Ramli berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

SEREMBAN SENTRAL BAKAL UBAH SEREMBAN JADI PUSAT BANDAR MODEN, SELESA

Projek pembangunan bersepadu Seremban Sentral yang akan dimajukan oleh Sunway Bhd bakal mengubah bandar Seremban yang lama menjadi pusat bandar …
Maklumat Lanjut

NEGERI SEMBILAN PERTAHAN CADANGAN PELUPUSAN ANJING LIAR

Kerajaan Negeri Sembilan mempertahankan keputusan melaksanakan pelupusan anjing liar yang dimulakan di kawasan majoriti Melayu demi menyelesaikan masalah umum. Menurut …
Maklumat Lanjut

PATI ‘KEPANASAN’ DISERBU, SANGGUP TERJUN SETINGGI ENAM METER

Nekad terjun dari platform setinggi enam meter dan bersembunyi di celah barang binaan antara gelagat pendatang asing tanpa asing (PATI) …
Maklumat Lanjut