BERSEKONGKOL SINDIKET PENYELUDUPAN: 23 PEGAWAI KASTAM AKAN DIDAKWA DI MAHKAMAH BERMULA ESOK

KUALA LUMPUR: Seramai 23 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan didakwa di Mahkamah Sesyen enam negeri, terhadap dakwaan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan penjualan arak serta rokok tanpa cukai.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, semua suspek akan didakwa secara berasingan bulan ini sehingga 6 Jun ini.

Tarikh dan lokasi bagi pertuduhan berkenaan adalah seperti berikut:

28 Mei: Selangor (empat individu).

29 Mei: Selangor (empat individu).

30 Mei: Selangor (tiga individu) dan Kuala Lumpur (tiga individu).

2 Jun: Kelantan (dua individu).

4 Jun: Kelantan (satu individu) dan Terengganu (dua individu).

5 Jun: Pahang, (seorang individu).

6 Jun: Negeri Sembilan (tiga individu).

Katanya, pendakwaan terhadap suspek adalah hasil operasi Ops Samba 2.0 yang bermula sejak 11 Mac lalu menerusi kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara.

“Ops terbabit berakhir 25 Mac lalu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Kastam yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akhirnya berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

“Dalam operasi ini, SPRM menahan 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 bersama 27 individu dan pemilik syarikat dan hasil siasatan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan mengimport dan penjualan arak serta rokok seludup,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, berikutan penahanan individu terbabit, SPRM merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan SPRM mengesan modus operandi digunakan oleh sindiket yang dilumpuhkan dalam Ops Samba melalui ‘forwarding agent’ yang bertindak sebagai orang tengah bagi membayar rasuah kepada penguat kuasa.

Anggota dan pegawai JKDM yang bertugas dalam pemeriksaan kargo lapangan terbang diberi sogokan sebagai balasan melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Sindiket terbabit dipercayai melakukan perbuatan penyeludupan dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa itu sejak tahun 2017.

Hasil siasatan menunjukkan anggota dan pegawai terbabit menerima rasuah kira-kira RM4.7 juta daripada sindiket melalui ‘akaun keldai’.

Sindiket itu juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, pengurup wang, kegiatan judi atas talian dan melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

Sebanyak 19 ‘syarikat hantu’ ditubuhkan dengan menjalankan pelbagai perniagaan pengubahan wang haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

PENDUDUK BANTAH ‘PROJEK HARAM’ PUSAT PERLINDUNGAN ANJING LIAR

Sebuah pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tanah rizab kerajaan di …
Maklumat Lanjut

PENIAGA RUGI RM677,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

Seorang peniaga makanan sejuk beku di Nilai mengalami kerugian lebih RM677,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan atas talian dipercayai …
Maklumat Lanjut

PROGRAM COMMUNITY BASED SECURITY MANAGEMENT (CBSM) BERSAMA IPD JELEBU

3 Julai 2025: Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk melaksanakan program bersama Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah …
Maklumat Lanjut