PERKHIDMATAN TREM PERCUMA DI PUTRAJAYA HINGGA JULAI

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MoT) sedang melaksanakan tempoh percubaan operasi Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) atau trem tanpa landasan, bermula 13 Mei lalu hingga 31 Julai depan.

Projek rintis di Putrajaya itu adalah usaha PPj mengetengahkan ART sebagai satu daripada mod pengangkutan yang boleh melengkapkan rangkaian sistem sedia ada.

Sekiranya semua berjalan lancar, perkhidmatan trem itu dijangka bermula akhir tahun ini.

Jurutera di Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan Bahagian Trafik Dan Pengangkutan Awam PPj, Muhammad Masrizal Saad, berkata dua laluan diperkenalkan sempena tempoh percubaan berkenaan, iaitu Laluan 1 yang akan beroperasi Isnin hingga Jumaat dan Laluan 2 Sabtu dan Ahad saja.

“Laluan 1 akan bermula dari Stesen MRT Putrajaya Sentral dan melalui destinasi pentadbiran kerajaan di Presint 2, 3 serta 4, manakala Laluan 2 pula dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke IOI City Mall,” katanya kepada media.

ART menggunakan teknologi oleh anak syarikat China, CRRC yang juga syarikat pengeluar utama sistem dan komponen rel di dunia.

Menjelaskan lanjut, Muhammad Masrizal berkata, trem yang tidak bergantung pada bahan api itu boleh menampung hingga 239 penumpang pada waktu biasa dan 307 orang pada waktu puncak.

“Tiada bayaran akan dikenakan pada penumpang ketika tempoh percubaan ini. Orang awam yang ingin mencuba pengalaman menaiki ART hanya perlu menggunakan aplikasi melalui kod QR yang disediakan di stesen mengambil penumpang,” katanya.

Sementara itu pengguna trem, Zainol Awang, 69, ketika ditemui berkata beliau sanggup menempuh perjalanan lebih 100 kilometer dari Karak, Pahang, untuk merasai sendiri pengalaman menaiki ART.

“Pagi, naik bas dari Karak. Selepas itu, naik MRT ke Putrajaya… bagus sangat dan boleh dikembangkan lagi. Seronok tengok negara kita sudah semakin maju,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Alia Jamin, menyifatkan kemudahan terbaharu itu akan berupaya menarik lebih banyak pelancong ke Putrajaya untuk menikmati penggunaan trem, di samping dapat melonjakkan ekonomi setempat.

Maklumat lanjut berkenaan pengoperasian ART sepanjang tempoh percubaan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang dan laman media sosial rasmi PPj di https://www.ppj.gov.my/.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …