PAHANG HANTAR 30 TAN BANTUAN KE GAZA

PELABUHAN KLANG: Kerajaan Pahang dengan kerjasama Ops Ihsan melancarkan penghantaran barang bantuan kemanusiaan dari Pahang ke Gaza berjumlah 30 tan hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, misi penghantaran menerusi jalan laut akan bergerak dari Pelabuhan Klang dan dijangka tiba di Pelabuhan Said, Mesir pada 4 Julai depan.

Antara barang bantuan dihantar ialah pek makanan retort (nasi arab ayam dan nasi arab kambing), selimut dan juga ubat-ubatan.

“Kerajaan negeri Pahang menerusi Sekretariat Pahang4Palestine pada hari ini melancarkan penghantaran barang bantuan kemanusiaan dari Pahang ke Gaza.

“Misi penghantaran barang bantuan ini hasil kutipan derma menerusi tabung Pahang4Palestine yang digerakkan setelah penganjuran Himpunan Solidariti Pahang4Palestine di Kuantan, Pahang pada 28 Oktober tahun lalu.

“Jumlah kutipan derma menerusi tabung Pahang4Palestine sehingga hari ini (20 Mei) adalah berjumlah RM1.602 juta hasil sumbangan pelbagai pihak di negeri Pahang,” katanya dalam sidang media pada majlis pelancaran berkenaan di NYS Marketing di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang memberi jaminan setiap sen yang disumbangkan dan didermakan itu akan sampai ke bumi Gaza.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua penyumbang sama ada pertubuhan, individu dan semua pihak.

Beliau berkata, misi kemanusiaan ini adalah inisiatif kali kedua yang dilaksanakan kerajaan negeri Pahang.

“Pada kali pertama kerajaan Pahang menyalurkan wang tunai RM700,000 untuk membaik pulih masjid dan sekolah yang musnah dalam serangan Rejim Israel menerusi Kempen Dana Tabung Pahang For Palestine dan Pelancaran Projek Rakyat Pahang di Bumi Gaza pada 2021,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri Pahang terus konsisten mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Rejim Israel ke atas penduduk awam Palestin di Gaza yang telah mengorbankan lebih 35,000 nyawa yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Kerajaan negeri Pahang juga mendesak supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara seluruh dunia mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik kemanusiaan yang begitu kritikal di Gaza dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Induks Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, Pahang menjadi negeri pertama yang membuat inisiatif peringkat negeri untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Kerajaan negeri Pahang mengumpul duit sumbangan, beli barang bantuan, mereka mengambil inisiatif sendiri hantar ke Gaza.

“Sebelum ini negeri lain dia melalui badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain..Sama ada bagi dalam bentuk wang ataupun menumpang Ops Ihsan dengan kapal terbang,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut