LEBIH 28,000 VETERAN TENTERA TIDAK BERPENCEN TERIMA BANTUAN RM300 SEBULAN

CAMERON HIGHLANDS, 21 MEI: Sebanyak 28,828 daripada 41,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di seluruh negara sudah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300 sebulan, setakat 30 April 2024.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kerajaan meningkatkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM daripada RM54 juta pada 2022 kepada RM118 juta pada 2023 dan RM244 juta pada tahun ini.

“Ketika saya mula menguruskan hal ini (BSH), jumlah penerima sekitar 6,000 hingga 10,000 veteran, namun kini sudah meningkat kepada lebih 28,000.

“Sudah menjadi tugas kita untuk menjaga kebajikan veteran ini selaras dengan seruan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi teras keenam Dasar MADANI iaitu ’Insan’ dan kita benar-benar melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Veteran MADANI (PVM) peringkat Pahang di Kampung Kuala Boh di sini hari ini.

Menurut Adly pihaknya berharap bantuan bulanan terbabit dapat meringankan beban veteran ATM tidak berpencen yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar dan berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan.

Dianjurkan Kementerian Pertahanan bersama JHEV ATM, PVM dihadiri Adly hari ini merupakan program julung kali melibatkan veteran dalam kalangan Orang Asli.

Beliau turut membuat lawatan kebajikan terhadap lima veteran ATM dan menyerahkan bakul makanan, susu kesihatan, kit bantuan kebajikan, lampin pakai buang serta sumbangan wang tunai kepada mereka.

Adly turut mengadakan sesi dialog bersama veteran ATM Pahang bagi mendengar isu-isu yang perlu diperhalusi di peringkat JHEV dan kementerian serta penyerahan bakul Rahmah kepada 100 veteran ATM yang hadir.

– BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …