MELUASKAN AKSES DAN MENINGKATKAN KUALITI DALAM PENDIDIKAN BERI MAKNA KEMERDEKAAN NEGARA

Pendidikan merupakan perkara penting dalam alaf pemodenan pada hari ini. Semenjak di dalam kandungan, kanak-kanak telah didedahkan dengan pelbagai bentuk pendidikan oleh ibu dan bapa. Apatah lagi apabila kanak-kanak itu dilahirkan di dunia ini. Bermulalah proses pembelajaran sepanjang hayat sama ada dalam bidang agama, sains, matematik, ilmu alam, sejarah dan pelbagai lagi sehinggalah ke tahap pendidikan tertinggi. Masyarakat pinggir bandar turut menginginkan kehidupan yang sempurna terutama dalam pengisian ilmu pendidikan kepada anak-anak yang dianggap mampu mengubah kehidupan yang susah kepada kehidupan yang lebih baik. Perubahan kualiti hidup yang sempurna juga menekankan pendidikan sebagai salah satu faktor untuk mengubah kehidupan yang diimpikan. Lemah dalam pendidikan akan mendorong individu untuk hidup dalam kemiskinan berbanding dengan individu yang mempunyai kemahiran literasi yang tinggi dalam Pendidikan.

Pendidikan adalah pertahanan baris hadapan sesebuah negara khususnya di Malaysia. Pengukuhan perpaduan, jati diri kebangsaan, keadilan sosial dan kesejahteraan negara hanya boleh dicapai menerusi agenda pendidikan. Hal ini menjadi lebih penting apabila kita mahu memaknakan lagi erti kemerdekaan dan melihat Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara maju dan berdaya saing.

Kita perlu memperkukuhkan lagi sektor pendidikan negara kerana untuk menjadi sebuah negara maju, ia bergantung sejauh manakah kita mampu mengupayakan potensi rakyat menjadi insan terbaik, yang dapat menyumbang secara lebih berkesan kepada pembangunan dan kelangsungan negara.

Pada masa sama, kita juga perlu mentransformasikan pembangunan ekonomi bertunjangkan inovasi dan kreativiti untuk mendukung usaha penciptaan kemewahan negara. Ini semua hanya boleh kita capai melalui sumbangan sektor pendidikan negara.

Di awal kemerdekaan, pendidikan mempunyai beberapa fungsi utama. Antaranya menjadi strategi ampuh untuk menjayakan proses pembangunan negara. Melalui pendidikan, kita dapat mendidik anak bangsa sehingga mereka menjadi rakyat berguna dan berbakti kepada tanah air. Selain itu, pendidikan juga menjadi pendekatan terbaik menjayakan usaha ke arah perpaduan nasional. Seperti mana sedia maklum, Malaysia memiliki masyarakat majmuk dan berbilang kaum.

Melalui agenda pendidikan bersandarkan Dasar Pendidikan Kebangsaan, kita mendidik anak bangsa supaya terus menghargai erti kemerdekaan dan kemakmuran negara.

Justeru, kesatuan melalui pendidikan ini berupaya memperteguhkan keyakinan rakyat supaya dapat menumpahkan rasa taat setia tanpa berbelah bahagi kepada negara. Pendidikan juga menjadi strategi terbaik bagi menanam semangat patriotik dan demokratik dalam kalangan pelajar agar menjadi warga negara yang bertanggungjawab. Dalam memperjuangkan pendidikan khususnya dalam kalangan anak Melayu dan Bumiputera, kerajaan melakukan pelbagai inisiatif termasuk melalui badan dan juga yayasan yang ditubuhkan.

Secara tuntasnya, pendidikan adalah suatu pelaburan kepada masa depan negara. Ia perlu menjadi keutamaan semua pihak. Justeru, aspek akses dan ekuiti dalam pendidikan perlu diperjuangkan dari semasa ke semasa.

Dalam usaha kita menjadi sebuah negara maju, kita tidak boleh membiarkan ada dalam kalangan anak bangsa tercicir hanya kerana ketidakmampuan dan halangan kewangan.

Dalam meluaskan akses, peluang dan laluan ke pendidikan tertiari boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira gender, umur, etnik, bagi golongan miskin di bandar dan luar bandar, bumiputera di Sabah dan Sarawak, orang Asli dan OKU. Individu boleh mengikuti pendidikan tertiari pada setiap peringkat mengikut kelayakan dan minat masing-masing melalui pelbagai mod pembelajaran. Ekuiti boleh ditingkatkan melalui meritokrasi kepelbagaian dan agihan bantuan kewangan yang seimbang untuk semua pelajar supaya mereka tidak tersisih dari arus perdana pengajian tinggi.

sumber: BERITA HARIAN

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …