SEMAKMULE KESAN LEBIH 190,000 AKAUN ‘KELDAI’ DIGUNAKAN SCAMMER

KUALA LUMPUR: Sebanyak lebih 1.9 juta carian akaun bank dan nombor telefon digunakan sindiket penipuan direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) memenerusi portal Semakmule, yang berperanan sebagai medium perkongsian maklumat antara polis dan masyarakat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, portal yang dibangunkan sejak 2018 itu menyediakan kemudahan kepada orang ramai bagi mendapatkan pengesahan status akaun bank dan nombor telefon yang mungkin terbabit kegiatan penipuan.

Beliau berkata, pengesahan itu seterusnya dapat digunakan untuk mempertimbangkan tahap keselamatan urusan pindahan atau bayaran wang yang ingin dilakukan.

“Sehingga kini, sejumlah 193,000 akaun bank dan 164,000 nombor telefon ‘scammer’ disenaraikan di dalam portal berkenaan.

“Ini bermakna, lebih 190,000 akaun bank disalahgunakan sebagai keldai akaun.

“Sejak dilancarkan juga, sejumlah 24,962,197 pelawat melayari portal itu dan 20,469,861 carian dibuat. Daripada jumlah itu 1,912,120 carian adalah positif,” katanya ketika berucap melancarkan Portal Semakmule 2.0 di pusat beli-belah Midvalley di sini, hari ini.

Ramli berkata, kemudahan portal Semakmule juga turut dimanfaatkan oleh institusi kewangan dan pihak berkuasa negara jiran bagi membantu siasatan yang dilaksanakan mereka.

Malah, katanya, keberkesanan Semakmule mendapat pengiktirafan pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) melalui Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam 2023.

Bagaimanapun, modus operandi sindiket penipuan yang sentiasa berubah dan perkembangan teknologi membuatkan JSJK melihat kepada keperluan supaya fungsi portal itu diperkasa dengan menambah satu lagi modul yang menyenaraikan syarikat yang disyaki terbabit dengan kegiatan jenayah komersial melalui Semakmule 2.0.

“Pengguna akan diberikan akses untuk membuat carian terhadap syarikat yang mungkin terbabit aktiviti jenayah komersial. Kemudahan ini bakal membantu pengguna dalam membuat pertimbangan sama ada untuk meneruskan urus niaga atau urusan dengan syarikat yang berkaitan.

“Setakat ini, 107 syarikat yang disyaki terbabit dengan kegiatan penipuan disenaraikan di dalam pangkalan data portal ini,” katanya.

Beliau berharap portal itu bakal menjadi satu mekanisme utama dalam usaha pencegahan jenayah yang lebih efektif.

Sumber ; BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …