AKAUN FLEKSIBEL PENUHI KEPERLUAN KECEMASAN M40, B40 – CIMB RESEARCH

KUALA LUMPUR: Pengeluaran Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi keperluan kecemasan dijangka lebih mendesak kepada pencarum B40 dan M40, kata penganalisis.

CIMB Treasury and Markets Research berkata, kedua-dua kumpulan itu masing-masing memegang RM11 bilion dan RM180 bilion dalam jumlah simpanan persaraan.

Namun, ia berkata, pengeluaran dijangka sederhana berikutan KWSP pada 2021 menganggarkan bahawa 60 peratus ahlinya telah kehabisan baki Akaun 2, kini dinamakan sebagai Akaun Sejahtera berikutan kemudahan pengeluaran yang disediakan ketika pandemik.

Katanya, keadaan itu sekali gus berpotensi memperlihatkan aliran keluar yang sederhana bagi Akaun Fleksibel jika segmen T20 bermotivasi untuk menyimpan simpanan dengan pengekalan kadar dividen yang seragam merentas semua akaun buat masa ini.

“Aliran keluar Akaun Fleksibel mungkin bertindih dengan kadar biasa pengeluaran Akaun 2 bersyarat, dengan itu menyederhanakan pengeluaran kasar,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Pada Khamis lalu, KWSP mengumumkan akaun ahli KWSP akan distruktur semula daripada dua akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel berkuat kuasa 11 Mei 2024.

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu dengan 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

Antara 11 Mei 2024 dan 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

Akaun Fleksibel adalah akaun baharu yang diperkenalkan untuk memenuhi keperluan jangka pendek ahli dan simpanan dalam Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

CIMB Treasury and Markets Research berkata, KWSP telah memberi panduan bahawa jika setiap ahli memilih untuk memindahkan sekali saja sebahagian baki Akaun Sejahtera sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel, ia dijangka berjumlah RM57 bilion.

Ia berkata, dianggarkan RM25 bilion mungkin mengalir keluar pada tahun pertama berasaskan corak yang diperhatikan membabitkan skim pengeluaran berkaitan pandemik sebelum ini dan kemudian menyederhana kepada RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun selepas itu.

Katanya, KWSP menjangkakan tiada kesan kepada portfolionya walaupun pegangan aset cair mempunyai pertukaran terhadap pulangan.

Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan pelancaran Akaun Fleksibel dijangka tidak akan memberi kesan ketara kepada sektor budi bicara pengguna, termasuk industri automotif.

Ia menjangkakan, impak ekonomi berikutan pengeluaran Akaun Fleksibel tidak ketara seperti pengeluaran khas ketika pandemik sebelum ini.

Katanya, dengan andaian setiap ahli KWSP memilih Akaun Fleksibel dan mengeluarkan RM25 bilion pada tahun pertama, impak ekonomi masih hanya kira-kira separuh daripada yang dicatatkan dengan skim pengeluaran khas sebelum ini.

Jelasnya, dengan mempertimbangkan purata simpanan KWSP pada 31 Disember 2023 kira-kira RM1,700 untuk B40 dan RM28,000 untuk M40, unjuran pemindahan ke Akaun Fleksibel adalah antara RM1,000 dan RM3,000.

“Secara keseluruhannya, kami berpendapat bahawa pencarum akan memperuntukkan dana daripada Akaun Fleksibel secara berhemat, dengan perbelanjaan minimum untuk barangan mewah,” katanya.

sumber: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

NEGERI SEMBILAN SUDAH BERSEDIA HADAPI KEMARAU

Kerajaan Negeri Sembilan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan cuaca panas dan kering yang dijangka melanda berterusan hingga hujung bulan depan …
Maklumat Lanjut

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut