INSIDEN TEMBAKAN DI PERAIRAN KUNAK AWAL APRIL LALU CUBAAN KES SAMUN – KETUA MENTERI

KOTA KINABALU (24 April): Insiden tembakan yang mencederakan dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kunak pada 7 April lalu diklasifikasi sebagai cubaan kes samun yang terpencil.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata berdasarkan rekod lima tahun kebelakangan ini hanya beberapa kes sahaja yang berlaku.

Katanya, kejadian itu berlaku pada musim perayaan ketika penduduk di kawasan sekitar sibuk keluar berhari raya dan membawa wang untuk membeli barangan keperluan sempena perayaan.

“Keadaan itu menyebabkan jalan laut menjadi sibuk dan suspek menggunakan peluang itu untuk melakukan jenayah samun dan rompakan.

“Pada masa ini, pihak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan agensi keselamatan sedang menggiatkan operasi bagi mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri keluar dari perairan negara.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek terbabit dalam kes jenayah selain seorang daripada suspek turut dalam senarai orang yang dikehendaki oleh ESSCOM,” katanya ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Katanya, sejak ESSCOM ditubuhkan pada 1 April 2013, kerajaan negeri berpuas hati terhadap peranan yang dimainkan pasukan itu sebagai peneraju dan koordinator operasi pasukan keselamatan di pantai timur Sabah merangkumi elemen Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan APMM.

“Agensi ini mengekang pencerobohan anasir asing ke wilayah ini dan membantu mengangkat semula imej wilayah Sabah terutama di kawasan pantai timur sebagai selamat dan sejahtera untuk dikunjungi oleh pelabur atau pelancong asing.

“Di samping itu, ESSCOM juga membantu jabatan atau agensi penguatkuasaan dan keselamatan seperti Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Ia dilakukan melalui pelbagai operasi bersepadu bagi membendung elemen jenayah rentas sempadan membabitkan penyeludupan kontraban, barang kawalan, bersubsidi dan tanpa cukai serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri juga terus komited membasmi isu PATI di negeri ini dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak bagi memastikan semua tangkapan yang dibuat diusir pulang ke negara asal masing masing.

Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama PDRM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah juga mempunyai perancangan untuk menambah Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang baharu di Sabah bagi memperketatkan lagi kawalan sempadan daripada dimasuki PATI.

“Kerajaan akan membina sebanyak empat pos kawalan PGA tahun ini iaitu Pos Poigon, Kalabakan; Pos Manalunan, Sandakan; Pos Kuala Maruap, Lahad Datu dan Pos Gabungan Sungai Haji Kuning Sebatik, Tawau.

“Selain itu, enam pos kawalan PGA dalam perancangan dan masih menunggu kelulusan peruntukan iaitu Pos Sungai Limau Sebatik, Tawau; Pos Bukit Keramat Sebatik, Tawau; Pos Long Pasia, Sipitang; Pos Alutok, Tenom; Pos Pensiangan, Nabawan dan Pos Pulau Bankawan, Kudat,” katanya.

 

 

#MalaysiaMadani

#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama

#MKNSabah

 

Sumber: Info X

Artikel/Berita Terkini

𝗣𝗘𝗥𝗛𝗜𝗠𝗣𝗨𝗡𝗔𝗡 𝗕𝗨𝗟𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗣𝗢𝗟𝗜𝗦 𝗗𝗔𝗘𝗥𝗔𝗛 𝗧𝗜𝗠𝗨𝗥 𝗟𝗔𝗨𝗧

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Perhimpunan Bulanan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM BIMBING KESELAMATAN

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Kempen Keselamatan …
Maklumat Lanjut

𝗢𝗣𝗦 𝗞𝗛𝗔𝗦 𝗟𝗘𝗕𝗜𝗛 𝗠𝗨𝗔𝗧𝗔𝗡

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Unit Operasi …
Maklumat Lanjut