KKM REKOD 45 KES PENYAKIT BERKAITAN HABA, 2 KEMATIAN STROK HABA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 45 kes penyakit berkaitan haba direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat semalam, membabitkan 33 kes kelesuan haba, 11 kes strok haba dan satu kes kejang haba, berikutan cuaca panas ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata secara kumulatif, dua kes kematian akibat strok haba turut dilaporkan dalam tempoh sama.

Beliau berkata, kes kematian itu membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun dan kanak-kanak lelaki tiga tahun di Kelantan.

“Pada masa ini, empat kes masih mendapat rawatan di hospital iaitu satu kes strok haba yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes dirawat di wad biasa, yang terdiri daripada dua kes strok haba dan satu kes kelesuan haba. Kes-kes lain telah sembuh dan dibenarkan keluar.

“Kes dirawat di ICU membabitkan seorang lelaki berusia 24 tahun, dimasukkan ke ICU Hospital Port Dickson sejak 10 Mac lalu dan sudah dipindahkan ke ICU Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, pada 5 April lalu,” katanya.

Bagi keseluruhan 45 kes itu, beliau berkata, pecahan setiap negeri adalah masing-masing lapan kes di Perak dan Kedah, enam di Selangor serta masing-masing lima di Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Empat kes di Sabah, dua kes di Perlis, satu kes di Pulau Pinang dan satu satu di Kelantan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya KKM menasihatkan semua pihak meneruskan langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak serta aktiviti-aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang.

“Orang awam juga diminta agar mengelakkan diri daripada terdedah kepada cuaca panas, banyakkan berteduh dan berehat lebih kerap semasa cuaca panas, memilih untuk melakukan ziarah pada waktu kurang panas atau waktu malam, terutamanya ketika mengunjungi sanak-saudara dan rakan taulan semasa perayaan,” katanya.

Katanya, orang awam juga boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang METMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM.

Semalam, status cuaca panas dikeluarkan METMalaysia, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam merekodkan beberapa kawasan berada pada Tahap Amaran Satu.

Ia membabitkan seluruh negeri Perlis, Kedah (Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Yan, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu, Baling, Padang Terap, Sik), Pulau Pinang (Timur Laut), Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta), Kelantan (Gua Musang), Pahang (Raub), Sarawak (Limbang) dan Sabah (Tenom, Beaufort, Tuaran).

Satu kawasan direkodkan berada di Tahap Amaran Dua sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut iaitu Pokok Sena, Kedah.

Sumber: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM BICARA EKSEKUTIF PENERANGAN ISU-ISU KESELAMATAN SIRI 1/2024

Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Bicara Eksekutif Penerangan Isu-Isu Keselamatan …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN BERHASRAT BERI TABLET KEPADA PELAJAR – ZAHID HAMIDI

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat untuk memberikan tablet kepada setiap pelajar dalam merealisasikan sekolah digital yang lebih berkesan pada masa …
Maklumat Lanjut

KPM UMUM ENAM INISIATIF ANTARANYA LONJAK KAPASITI GURU DIGITAL

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital. Menteri Pendidikan, Fadhlina …
Maklumat Lanjut