FOTO SUSPEK TEMBAKAN DI KLIA DIEDAR DI PINTU MASUK NEGARA

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Polis mengedarkan foto suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pagi tadi ke semua pintu masuk negara di utara tanah air dan pihak berkuasa negara jiran.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata arahan itu dikeluarkan sebaik sahaja pihaknya berjaya mengenal pasti suspek terlibat dalam kejadian itu yang menyebabkan pengawal peribadi parah.

Beliau berkata pihaknya turut memperketatkan kawalan di lorong tikus di sempadan negara bagi mengelakkan suspek yang dikenal pasti sebagai Hafizul Harawi, 38, meloloskan diri ke negara jiran.

Menurutnya Hafizul dipercayai masih berada dalam negara dan usaha mengesan lelaki itu giat dijalankan.

“Saya percaya dengan kecekapan anggota saya, Hafizul akan ditangkap dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razarudin berkata siasatan awal pihaknya turut mendapati suspek menggunakan pistol separa automatik berkaliber sembilan milimeter ketika kejadian.

“Polis menemukan tiga kelongsong peluru di tempat kejadian yang satu daripadanya tidak meletup, kami (polis) mengesyaki Hafizul memperoleh pistol berkenaan dari negara jiran,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilapor berkata polis telah melancarkan operasi mengesan lelaki itu selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara untuk menjejakinya.

– BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

LEBIH 90 PERATUS MYKIOSK DI NEGERI SEMBILAN SUDAH DIISI

Lebih 90 peratus kios MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Sembilan telah diisi dengan peniaga …
Maklumat Lanjut

TEMA HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA 2025

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025. RASIONAL TEMA Cerminan visi kerajaan …
Maklumat Lanjut

𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗜 𝗠𝗔𝗞𝗟𝗨𝗠𝗔𝗧 𝗕𝗔𝗡𝗞 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗠𝗔𝗡𝗔-𝗠𝗔𝗡𝗔 𝗣𝗜𝗛𝗔𝗞

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) JANGAN BERI …
Maklumat Lanjut