KEMENTERIAN SERING PANTAU CUACA PANAS, SIAP SIAGA HADAPI SEBARANG KEMUNGKINAN

PUTRAJAYA, 15 MAC: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus memantau keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini, bagi memastikan tindakan segera dapat diambil demi menjaga kebajikan rakyat.

Bercakap kepada Bernama, Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beberapa kementerian dan agensi kerajaan telah diminta merujuk kepada garis panduan atau Manual Pemantauan Cuaca Panas yang dibangunkan kementerian itu, dan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan melanda negara.

Beliau berkata NRES mempunyai Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan yang dipengerusikan beliau sendiri dan mereka telah bermesyuarat beberapa minggu lepas.

Antara yang terlibat ialah wakil daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan serta wakil-wakil kerajaan negeri serta agensi kerajaan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kita mengingatkan mereka agar bersedia dengan tindakan yang perlu diambil, misalnya tahun lepas kita tahu ada kes kematian disebabkan strok haba, jadi kita minta mereka bersiap siaga.

“Begitu juga soal bekalan air apabila berlakunya cuaca panas, maka soal pengurusan bekalan air juga menjadi lebih kritikal. Itu semua telah kita ingatkan dan kita selaraskan, garis panduan pun sudah ada apa yang perlu dibuat dan sebagainya,” katanya.

Nik Nazmi berkata Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan merupakan mesyuarat berkala yang diadakan bagi merancang dan menyelaras persediaan negara dalam menghadapi cuaca panas dan kering, fenomena El Nino, pelaksanaan tindakan pencegahan pembakaran terbuka dan persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya jerebu.

Beliau berkata cuaca panas yang dialami pada masa ini di beberapa negeri di utara Semenanjung adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei.

“Berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dunia pada ketika ini, dijangkakan suhu maksimum harian di negara kita boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.

“Kekuatan fenomena El Nino dijangka berkurangan dan menjadi neutral pada pertengahan tahun ini,” katanya, menambah bahawa kawasan utara Semenanjung Malaysia dan Sabah berdepan risiko kemarau.

Beliau berkata Malaysia berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga penghujung bulan ini.

Dalam tempoh itu, litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat, terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.

Ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama, katanya boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.

“Bagi memantau keadaan cuaca kering dan panas, METMalaysia akan melaksanakan beberapa perkara seperti pemantauan suhu maksimum harian bagi menentukan status cuaca panas seluruh negara pada setiap hari, pelaporan bilangan hari tanpa hujan, pengeluaran Indeks Pemantauan Kemarau yang dikemas kini setiap bulan. Semua maklumat ini boleh diakses melalui laman web dan media sosial rasmi MET Malaysia.

“MET Malaysia juga memberikan taklimat cuaca di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana peringkat daerah dan negeri bagi memberikan maklumat terkini tentang cuaca kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana,” katanya.

– BERNAMA

 

Artikel/Berita Terkini

LEMBU BERKELIARAN, PBT LAKSANA TANGKAPAN SECARA AGRESIF

Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diarahkan melaksanakan tangkapan lembu secara lebih agresif bagi mengelakkan kemalangan jalan raya …
Maklumat Lanjut

TINDAKAN KES DIHASILKAN DIBAWAH AKTA KAWALAN BEKALAN 1961

RANTAU PANJANG 08 Mei : Pegawai Penguat Kuasa KPDN, Kelantan telah menerima serahan kes daripada PDRM Balai Polis Jeram Perdah …
Maklumat Lanjut