Pada hari ini dalam tahun 1969, Kerajaan Terengganu dan Kementerian Pelajaran bersetuju untuk menjadikan Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu sebagai Pusat Pengajian Tinggi Islam di Pantai Timur. Sekolah ini akan menitikberatkan pelajaran agama dan Bahasa Arab hingga ke peringkat HSC bagi membolehkan penuntut-penuntutnya menyambung pengajian ke universiti dalam bidang yang berkaitan dengan Islam. Buat permulaan, dua orang pegawai pelajaran akan dihantar ke Sekolah Sultan Zainal Abidin bagi mengkaji perjalanan sekolah ini dalam usaha menjadikannya sebagai Pusat Pengajian Tinggi Islam. Pendidikan merupakan faktor yang penting dalam melahirkan masyarakat yang berjiwa besar, serba boleh dan mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan usaha-usaha awal ini memberi gambaran jelas bahawa perancangan yang teliti mampu membuahkan hasil yang baik dalam jangkasamasa panjang.
Sumber: Arkib Negara Malaysia