HADIAH PAKEJ UMRAH, WANG TUNAI UNTUK PENDEPOSIT TH SEPANJANG 2024

SHAH ALAM, 29 JAN: Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan hadiah pakej umrah dan wang tunai untuk pendepositnya menerusi lima program menarik yang dianjurkan sepanjang 2024.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendeposit berpeluang untuk menjadi pemenang bertuah menerusi program Al-Falah, Carum dan Simpan, Bijaknya Menabung, “Terpaling” Sayang dan Auto Simpan@THiJARI.

“Bagi program Al-Falah, Bijaknya Menabung serta Carum dan Simpan, pendeposit hanya perlu menambah simpanan dalam akaun TH tanpa melakukan transaksi pengeluaran untuk penyertaan. Program Al-Falah terbuka kepada pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas dengan tambahan simpanan serendah RM100.

Menurut kenyataan itu, pemenang program berkenaan akan dipilih melalui empat siri cabutan sukuan dan dua siri cabutan utama dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM300,000.

Dalam pada itu, bagi mereka yang bekerja dalam sektor awam dan sektor swasta yang mencarum serendah RM100 sebulan juga berpeluang menyertai program Carum dan Simpan dengan hadiah berupa pakej umrah dan pelbagai hadiah lumayan, selain dua siri cabutan akan dilaksanakan untuk mencari pemenang utama mengikut kategori masing-masing.

Selain itu, program Bijaknya Menabung turut dilaksanakan pihak TH bagi meningkatkan kesedaran tabungan haji dalam kalangan ibu bapa buat anak-anak mereka yang berumur 17 tahun ke bawah dengan tawaran pelbagai hadiah istimewa.

“Program ‘Terpaling’ Sayang akan memilih pemenang bertuah setiap sukuan daripada kalangan pendeposit yang mendaftar TH Khairat, manakala program Auto Simpan@THiJARI pula terbuka kepada semua pendeposit yang membuat transaksi pindahan simpanan ke akaun TH secara dalam talian.

Sementara itu, TH turut memaklumkan pihaknya akan meneruskan program Kelab TaHa dengan pelbagai aktiviti disediakan kepada pelajar sekolah antaranya pertandingan Musabaqah Kelab TaHa dan kejohanan Futsal TaHa Bestari yang menawarkan hadiah lumayan RM1,000 kepada johan bagi setiap pertandingan.

Perkara ini merupakan usaha TH untuk mendekati generasi muda menerusi aktiviti yang memberi manfaat serta membentuk modal insan yang cemerlang secara holistik.

Kenyataan itu turut memberitahu TH akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pendepositnya dengan penganjuran pelbagai program serta aktiviti sepanjang tahun bagi menghargai pendeposit yang terus setia menyimpan tabungan mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima.

– BERNAMA

 

Artikel/Berita Terkini

111 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPS SAPU DI TIGA DAERAH

TAHAN: Antara PATI Yang Ditahan Dalam Operasi Ini. KOTA KINABALU: Seramai 111 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah …

AADK TUBUH UNIT DRON PERKUKUH PEMANTAUAN KAWASAN PANAS DADAH

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menubuhkan Unit Dron bagi memperkukuh pemantauan dan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, khususnya di kawasan panas penyalahgunaan dadah …

THANUSAA CIPTA KEJUTAN, SUMBANG EMAS UNTUK MELAKA

Ayer Keroh – Melaka terus menambah kutipan pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor apabila atlet skuasy wanita, U Thanusaa …