KUANTAN, 24 JANUARI 2024 : Kerajaan Pahang memberikan bekalan air secara percuma kepada pengguna di bawah kategori B40 menerusi Rebat Air Makmur (RAM) bagi meminimakan kesan pelarasan tarif air kepada rakyat terlibat.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, skim ini akan melibatkan golongan B40 dalam kumpulan penerima bantuan e-Kasih, penerima bantuan i-Damak, serta penghuni Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP).
“Antara manfaat Rebat Air Makmur (RAM) yang bakal diperolehi oleh mereka yang termasuk dalam kategori yang dinyatakan ialah pemberian air secara percuma bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air tidak melebihi 12 meter padu sebulan.
“Tiada kenaikan caj bayaran dikenakan bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air di antara 13 meter padu hingga 24 meter padu sebulan.
“Bayaran pada kadar baharu lebih rendah berbanding kadar terdahulu selepas pemberian Rebat Air Makmur,” katanya.
Beliau berkata, pemberian Rebat Air Makmur sebanyak RM10 sebulan juga turut dinikmati golongan B40 yang mengalami kenaikan minima iaitu menggunakan air 25 meter padu dan ke atas sebulan.
YAB. Menteri Besar Pahang berkata keputusan hasil daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang yang bermesyuarat pada hari ini dilihat sebagai langkah perlu bagi meringankan beban golongan yang terkesan akibat kenaikan tarif air.
Beliau berkata skim Rebat Air Makmur yang memberi manfaat kepada 38,000 orang pengguna dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.6 juta setahun ini akan diberikan secara automatik kepada semua pengguna dalam golongan sasar.
“…manakala bagi pengguna yang tergolong dalam golongan sasar namun tidak menerima rebat secara automatik atas sebab tertentu, boleh memohon dan menyemak di kaunter Pejabat-pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Daerah terdekat bermula 25 Januari 2024 (Khamis).
“Skim Rebat Air Makmur ini antara lain membuktikan Kerajaan Negeri Pahang tetap mendengar pandangan pelbagai pihak, ketika mana pelarasan tarif air tidak dapat dielakkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air di masa hadapan.
“Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sebagai operator perkhidmatan bekalan air juga diminta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, merangka perancangan strategik dan seterusnya mewujudkan situasi ‘menang menang’ kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, penyelarasan tarif air yang tidak diselaraskan selama 40 tahun ini merupakan langkah yang diambil Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan keterjaminan, meningkatkan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan bekalan air di negeri ini pada masa hadapan.
Sumber : Pahang Media